HomeUtamaKPDN rampas 8,177 peket minyak bersubsidi

KPDN rampas 8,177 peket minyak bersubsidi

Read Time:1 Minute, 58 Second

Kota Kinabalu :  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah berjaya merampas 8,177 peket minyak masak bersubsidi bersaiz satu kilogram (kg) dalam serbuan di sebuah Rumah Teres yang beralamat di Taman Hings Jalan Kobusak, di sini semalam.

Serbuan menerusi Ops Tiris yang dijalankan  sepasukan pegawai penguatkuasa Ibu Pejabat KPDN Sabah sekitar jam 7 malam itu turut merampas gula pasir kasar satu kg sebanyak 48 kg.

Pengarah KPDN Sabah Georgie Abas berkata, serbuan itu juga adalah hasil daripada maklumat awam berhubung penjualan minyak masak paket bersubsidi dalam kuantiti yang banyak dan harga yang tidak munasabah melalui platform media sosial .

Katanya, hasil daripada risikan yang dijalankan mendapati aktiviti penyimpanan dan penjualan minyak masak paket bersubsidi ini dijalankan di lokasi tersebut. 

“Penyamaran dilakukan oleh pegawai penguatkuasa dengan cara menjadi pelanggan dan telah diarahkan oleh penjual untuk datang ke alamat yang telah diberikan melalui aplikasi Whatsapp. 

“Serbuan telah dilakukan serta merta semasa transaksi jual beli berlaku dan hasil pemeriksaan lanjut menemui minyak masak paket satu kg bersubsidi pelbagai jenama dan gula pasir kasar satu kg yang disimpan di kawasan kaki lima rumah serta ruang tamu rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui minyak masak paket satu kg pelbagai jenama dianggarkan sebanyak 8,177 kg manakala gula pasir kasar 1kg sebanyak 48kg,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Georgie berkata, semua minyak masak paket dan gula pasir kasar seterusnya disita bagi tujuan siasatan lanjut selepas penjaga premis yang ditemui gagal menunjukkan sebarang dokumen atau kebenaran daripada KPDN untuk membeli dan menyimpan minyak masak paket dan gula pasir kasar yang disimpan di dalam rumah tersebut.

Katanya, nilai sitaan keseluruhan adalah berjumlah RM 20,579.30 dan seorang penjaga premis warga tempatan berusia 27 tahun ditahan bagi tujuan membantu siasatan. 

“Sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu minyak masak dan gula pasir kasar dengan tujuan untuk melakukan kesalahan Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122),” katanya.

Dalam pada itu, Georgie berkata, KPDN Negeri Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri Sabah agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui saluran disediakan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Lapangan Terbang Tawau bakal lebih luas, dilengkapi pendingin hawa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular