HomeUtamaUMS utamakan kebajikan pelajar, sedia bantu Crisnanalina daftar pengajian

UMS utamakan kebajikan pelajar, sedia bantu Crisnanalina daftar pengajian

Read Time:1 Minute, 37 Second

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedia membantu bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pitas, Crisnanalina Jumis, 20, untuk mendaftar masuk ke universiti itu selepas dilaporkan menghadapi kesukaran untuk membayar yuran pendaftaran.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, pihaknya telah mengarahkan Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS untuk berhubung dengan pelajar tersebut bagi memudahkan urusan pendaftaran kemasukan ke universiti.

“Kita mengambil maklum berkaitan satu laporan dari akhbar tempatan berkaitan kesukaran Crisnanalina yang berasal dari Kg. Dalamas, Paitan yang menghadapi kesukaran untuk membayar yuran pendaftaran ke UMS.

“UMS amat prihatin terhadap isu kesukaran dari segi kewangan yang dialami oleh Crisnanalina, justeru kita akan pastikan beliau akan menerima bantuan secukupnya apabila mendaftar ke universiti ini nanti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kasim berkata, Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar juga akan memastikan bantuan terhadap keperluan pelajar itu ketika berada di kampus, selain membantu pelajar berkenaan membuat permohonan bantuan kewangan yang berkaitan.

Dalam pada itu, Kasim berkata, pelajar baharu UMS tidak perlu khuatir tentang pembayaran yuran pendaftaran universiti kerana pihak universiti telah melaksanakan pelbagai inisiatif.

Katanya, ini termasuklah kemudahan penangguhan yuran pendaftaran universiti bagi memastikan pelajar dapat menyelesaikan urusan pendaftaran tanpa perlu bimbang berkenaan masalah kewangan.

“Selain itu, pihak universiti juga turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan yang boleh dimohon oleh pelajar khususnya yang kurang berkemampuan seperti bantuan kewangan (MyCare), bakul makanan dan sumbangan zakat.

“Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar khususnya juga bersedia membantu para pelajar untuk membuat permohonan bantuan kewangan pendidikan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), serta permohonan biasiswa seperti Biasiswa Kerajaan Negeri, Yayasan Sabah, Biasiswa MARA, dan sebagainya,” katanya.

Kasim berkata, inisiatif yang dilaksanakan adalah usaha UMS dalam mengutamakan kebajikan pelajar agar dapat melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi walaupun daripada pelbagai latar belakang ekonomi.

Bagi sebarang maklumat berkaitan bantuan kebajikan boleh berhubung dengan Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS di talian 088-320 060 atau emel [email protected]. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

G57 sambut baik kenyataan Zahid agar pimpinan & ahli UMNO tidak...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular