HomeUtamaKemenangan Lepu,Manda melengkapkan satu cerita yang manis - Cikgu Sharif

Kemenangan Lepu,Manda melengkapkan satu cerita yang manis – Cikgu Sharif

Read Time:3 Minute, 6 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu : Dua beradik dari sebuah sekolah di pedalaman negeri ini membuktikan kesungguhan apabila berjaya dinobatkan sebagai Johan dan Naib Johan pada Pertandingan Deklamasi Sajak sempena bulan Kemerdekaan Sekolah Kurang Murid (SKM) peringkat Kebangsaan baru-baru ini.

Aidy Alwandy Suhaidi,10, dan Qyra Aidyrra Suhaidi,12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong Widu Tambunan itu masing-masing menyertai kategori tahun empat (lelaki) dan kategori tahun enam (perempuan).

Aidy Alwandy (kanan) dan Qyra Aidyrra (kiri) ketika membuat rakaman video di peringkat saringan bagi melayakkan diri ke peringkat kebangsaan

Kisah kejayaan adik-beradik ini tular di media sosial selepas guru mereka, Mohd Sharif Taip atau lebih mesra dipanggil Cikgu Sharif memuat naik video mengenai kejayaan dan halangan serta cabaran yang dihadapi mereka menerusi aplikasi Tik Tok.

Menceritakan lebih lanjut, Mohd Sharif ketika dihubungi Sabah Media mengakui menghadapi pelbagai halangan dan cabaran termasuk kekangan sumber kewangan yang terhad bagi menampung kos perbelanjaan khususnya tiket penerbangan ke Semenanjung.

Mohd Sharif (dua kanan) bersama Aidy Alwandy (tengah) dan Qyra Aidyrra (kanan) serta seorang lagi peserta Sabah Florisca Lainsin (kiri) dari SK Lasau Tintapon

Katanya, pertandingan yang berlangsung pada 15 September di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bugis Benut Pontian Johor itu telah memberi satu pengalaman baharu buat beliau dan juga anak muridnya itu.

“Kisah kejayaan mereka bermula apabila saya mendaftarkan nama dua beradik ini untuk menyertai pertandingan tersebut dan saringan dibuat menerusi rakaman video dengan ratusan peserta seluruh negara.

Mohd Sharif (kanan) bersama Qyra Aidyrra (kiri) dan Aidy Alwandy (tengah) ketika pertama kali menaiki kapal ke Semenanjung

“Bila diumumkan lima terbaik seluruh Malaysia, maka keluarlah nama dua beradik ini masing-masing bagi kategori yang ditandingi. Pada mulanya, kami dimaklumkan pertandingan akhir ini dilaksanakan secara hibrid namun terpaksa hadir ke lokasi pertandingan di Johor.

“Maka timbullah kekangan kami untuk mencari dana kewangan bagi menampung keperluan perbelanjaan khususnya melibatkan tiket penerbangan hampir mencecah RM4,000. Namun atas dasar kerjasama dan ‘patak-patak’ pelbagai pihak, mereka akhirnya berjaya sampai ke pertandingan tersebut,” katanya.

Aidy Alwandy ketika menerima hadiah kemenangan johan pada pertandingan itu

Sharif berkata, kerjasama ‘patak-patak’ termasuk bantuan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tambunan juga berjaya membantu kepada kejayaan dua beradik berkenaan.

“Disebabkan semuanya pada saat akhir, kami semua guru di SK Tiong Widu bekerjasama untuk mencari sumber kewangan yang termampu termasuklah dibantu oleh Anggota Kakitangan Perkhidmatan (AKP) dan pekerja pembersihan sekolah.

“Ada yang ditugaskan untuk mencari dana sumbangan, ada yang ditugaskan untuk membuat aksesori pelajar ini dan macam-macam lagi. Alhamdulilah apabila semua berjalan lancar makan dua beradik ini dapat kami bawa ke Johor untuk bertanding,” katanya.

Qyra Aidyrra menerima hadiah kemenangan naib johan bagi kategori tahun enam (perempuan)

Dua beradik yang mesra dipanggil Lepu dan Manda itu turut disifatkan sebagai pelajar yang mempunyai adab dan disiplin yang baik selain sokongan ibu bapa mereka turut menjadi faktor utama kepada kejayaan itu.

Sharif berkata, kejayaan yang diraih anak muridnya itu berjaya melengkapkan sebuah cerita dengan manis selepas melalui pelbagai cabaran bermula di peringkat sekolah hingga ke peringkat Kebangsaan.

“Perasaan mereka pada masa itu, hanya tuhan saja yang tahu. Kemenangan mereka ini umpama melengkapkan sebuah cerita yang manis selepas melalui kepayahan dan kesukaran. Saya akui, saya juga turut menangis gembira dengan kejayaan mereka.

“Saya puji mereka ini sebab adab mereka sangat tinggi, disiplin mereka juga amat tinggi. Mereka sangat menghormati guru dan ibu bapa mereka. Saya rasa puas hati kerana dapat membuktikan bahawa kekurangan itu sebenarnya boleh kita atasi.

“Dengan syarat ada bantuan dari semua pihak dan jika seorang guru itu minat dalam satu bidang, saya rasa kejayaan itu juga boleh dicapai, tidak kisah murid itu pedalaman atau bandar, kita pasti boleh lakukan,” katanya.

Beliau turut menghargai dengan semua bantuan yang disalurkan dalam memastikan kejayaan dua pelajar itu di peringkat Kebangsaan. – SABAH MEDIA / FOTO CIKGU SHARIF

RELATED ARTICLES
Utama

Lima ahli kebuniti tempatan terima Set Teknologi Greenkit MARDI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular