KOTA KINABALU : Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) menyuntik sejumlah dana kepada University College Sabah Foundation (UCSF) bagi menampung pembayaran gaji kakitangan universiti berkenaan.
Pengarah Yayasan Sabah Datuk Gulamhaidar @Yusof Khan Bahadar berkata, ia merupakan komitmen KYS selain akan terus mengadakan perbincangan dengan Pengurusan UCSF dalam menangani itu pembayaran gaji kakitangan.
“Berdasarkan keadaan kewangan semasa UCSF dan unjuran kemasukan pelajar baharu pada tahun 2022, UCSF dijangka tidak dapat menampung pembayaran gaji staf sepenuhnya.
“Pengurusan KYS mengambil serius perkara ini dan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik. Ia termasuklah menyuntik sejumlah dana ke UCSF untuk menampung pembayaran gaji staf UCSF,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.
Gulam berkata, pihaknya berharap agar pengurusan UCSF mengekalkan saluran komunikasi dengan staf sebagai salah satu agenda utamanya, terutama pada masa amat sukar ini.
Katanya, bagi memastikan isu pembayaran gaji kakitangan tidak berlarutan, KYS bersetuju untuk menyelesaikan masalah itu berdasarkan keputusan Tribunal Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
“Pengurusan KYS juga mengarahkan pengurusan UCSF untuk tidak membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan Semakan Kehakiman terhadap keputusan Tribunal JTK.
“Bagi memastikan isu ini tidak berlarutan, pihak pengurusan KYS akan memastikan semua usaha yang akan dirancang dilaksanakan dengan kadar segera demi memastikan agenda pembangunan pendidikan untuk anak-anak Sabah akan terus dilaksanakan,” katanya.