HomeUtamaJAKIM sokong usaha KerajaanSabah perkasa MHPSS

JAKIM sokong usaha KerajaanSabah perkasa MHPSS

Read Time:2 Minute, 8 Second

Kota Kinabalu : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyokong penuh usaha kerajaan negeri bagi memperkasa Perkhidmatan Sokongan Kesihatan dan Psiko-sosial (MHPSS) dalam usaha merawat isu kesihatan mental di Sabah. 

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, Sabah menduduki tempat keempat tertinggi kes-kes kemurungan iaitu pada kadar empat peratus.

“MHPSS bukan sahaja membuktikan keperluan perkhidmatan sebegini penting kepada rakyat Sabah, bahkan juga pendekatan yang ditawarkan amat positif dalam merawat dan membantu masyarakat berikutan hampir 75 peratus panggilan yang diterima adalah dalam kalangan individu yang memerlukan sokongan emosi serta kaunseling.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee

“Meneliti trend peningkatan isu kesihatan mental, JAKIM melihatnya sebagai satu tanggungjawab sosial terhadap masyarakat dengan Islam telah menggariskan panduan dalam meneliti kewajiban dan keperluan serta hak individu melalui konsep Maqasid Syariah.

“Maqasid Syariah berperanan dalam melihat rasionalisasi, kewajaran dan keperluan hak individu, termasuk aspek mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang baik,” katanya semasa merasmikan Majlis Penutupan Simposium Kebangsaan Kaunseling Syarie 2024, di sini semalam.

Sirajuddin berkata, JAKIM mengambil inisiatif terancang dalam membantu kelompok individu yang mempunyai isu kesihatan mental agar mampu kembali bersama dalam masyarakat.

“Perkhidmatan kesihatan merupakan jaminan hak individu yang diteliti melalui kewajiban penjagaan akal dari sebarang kecelaruan, kecacatan dan kekurangan yang membawa kepada isu kesihatan mental. 

“Pelbagai inisiatif telah diwujudkan antaranya penyediaan Pusat perkhidmatan runding cara Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), program berbentuk terapi spiritual seperti program Executive Talk on Spiritual Care: Healing The Soul, program Usrati Jannati di TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Di samping itu, turut diadakan ialah Kem Bimbingan Spiritual Komuniti Hijrah dan perancangan menubuhkan program Diploma Kaunseling Syarie di Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah pada tahun 2026,” katanya.

Menurutnya, bagi membina insan yang sejahtera, barisan kaunselor profesional sentiasa melihat tahap kesejahteraan mental, fikiran yang rasional, tingkah laku adaptif dan emosi yang stabil sebagai faktor yang amat penting dalam mengukur kesejahteraan individu.

“Hal ini selari dengan hasrat kerajaan yang telah direncanakan melalui pelancaran bulan Oktober sebagai Bulan Kaunseling Kebangsaan di Malaysia sejak tahun 2016. 

“Amat menarik untuk dikongsikan bersama, bahawa Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat dalam usaha merangka Dasar dan Pelan Perkhidmatan Kaunseling Negara sebagai pendekatan bersepadu dalam praktis amalan kaunseling di Malaysia. 

“Dasar dan pelan tersebut mampu mempengaruhi peningkatan aksesibiliti perkhidmatan kaunseling, peningkatan profesionalisme kaunseling serta menambahbaik penyampaian perkhidmatan masyarakat dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Bertemakan ‘Tekad Empati Sejahtera Insani’, Simposium Kebangsaan Kaunseling Syarie dihadiri 60 peserta sebagai menyahut usaha dan seruan kerajaan mewujudkan kelompok masyarakat yang prihatin, bertanggungjawab, tolong-menolong, bertolak ansur serta cakna terhadap isu kesejahteraan mental.

RELATED ARTICLES
Utama

Hajiji iring Tun Juhar hadiri Mesyuarat Majlis Raja- Raja

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular