KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memiliki motosikal curi.
Tertuduh, Mohd Hafieszul Mohd Adnan, 28, yang sedang menjalani hukuman penjara bagi kesalahan lain, menukar pengakuan kepada bersalah di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali semasa kes tersebut disebut untuk perbicaraan hari ini.
Mengikut pertuduhan, Hafieszul dengan niat curang telah menyimpan harta curi iaitu sebuah motosikal jenis Yamaha milik seorang lelaki pada 16 Januari 2025 di hadapan kedai 7-Eleven di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seskyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun, dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pengadu membuat laporan polis pada 13 Januari 2025 selepas motosikal milik bapa saudaranya yang diletakkan di tempat letak motosikal Centre Point didapati hilang.
Sebelum kejadian, pengadu masuk ke pusat beli-belah tersebut dan tercicir kunci serta cukai jalan motosikal berkenaan.
Bertindak atas maklumat, tertuduh berjaya ditahan pihak polis dan hasil siasatan lanjut mendapati tertuduh menjumpai kunci serta cukai jalan tersebut sebelum menunggang keluar dari lokasi kejadian. Tertuduh kemudian menukar nombor pendaftaran motosikal berkenaan.
Semasa rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Carmen Khoo, memohon hukuman ringan atas alasan mempunyai seorang anak serta menyesali perbuatannya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh sedang menjalani hukuman penjara lapan bulan atas kesalahan melupuskan harta curi di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.



