HomeUtama"Selagi tidak berputus asa, kita sudah menang" - Gelvia

“Selagi tidak berputus asa, kita sudah menang” – Gelvia

Read Time:3 Minute, 20 Second

Oleh J Evachel John

PENAMPANG: Bagi Unduk Ngadau Kaamatan 2026, Gelvia Vanessa Jenny, kemenangan bukan semata-mata tentang meraih mahkota atau gelaran juara.

Sebaliknya, graduan Pengajian Bahasa Melayu dari Universiti Malaya berusia 24 tahun itu percaya seseorang sudah dianggap menang apabila tidak berputus asa dalam mengejar impian dan berani mencabar diri sendiri.

“Selagi kita tidak berputus asa, kita sudah menang.

“Tidak semestinya kita menang nombor satu. Bila kita tidak berhenti mencuba, itu sudah menjadi satu kemenangan bagi kita,” katanya selepas dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2026 di Hongkod Koisaan KDCA, pada Ahad.

Kata-kata itu bukan sekadar ungkapan motivasi, sebaliknya menggambarkan perjalanan yang dilaluinya sebelum bergelar juara.

Gelvia sebelum ini pernah muncul naib juara Unduk Ngadau KDCA Klang Valley pada 2024 sebelum dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Papar tahun ini, sekali gus melayakkannya ke pertandingan peringkat negeri.

Gelvia semasa pertandingan akhir UNK 2026. Foto Alexter Rosalia

Gelvia mengakui antara cabaran terbesar yang perlu dihadapinya ialah mengatasi rasa takut untuk bercakap di hadapan orang ramai.

Malah, beliau mengakui pernah menggigil setiap kali memegang mikrofon dan terpaksa melatih diri untuk lebih yakin apabila berdepan khalayak ramai.

“Cabaran paling besar bagi saya ialah membiasakan diri bercakap di depan orang ramai dan menghilangkan rasa takut itu.

“Saya puas hati kerana dapat melakukan lebih baik berbanding sebelum ini dan berjaya melawan rasa takut untuk berdiri di atas pentas serta bercakap di hadapan khalayak ramai,” katanya.

Menurut anak ketiga daripada lapan beradik yang berasal dari Kampung Gana, Papar itu, beliau mula membuat persiapan secara serius sejak Februari lalu.

Persiapan tersebut merangkumi pelbagai aspek termasuk komunikasi, penampilan diri, keyakinan serta cara berinteraksi dengan orang ramai.

“Latihan itu benar-benar menguatkan saya untuk menghadapi semua ini,” katanya.

Gelvia berkata, keinginannya untuk mencuba sesuatu yang baharu dan mencabar diri sendiri menjadi antara faktor yang mendorong beliau menyertai pertandingan itu.

“Pertama sekali ialah doa keluarga saya. Kedua, kerana saya mahu mencuba perkara baharu dan mencabar diri sendiri,” katanya.

Gelvia turut berasal daripada keluarga yang tidak asing dengan pertandingan Unduk Ngadau.

Daripada lapan adik-beradik, empat daripadanya pernah menyertai pertandingan itu.

Kakak sulungnya, Vivi Yana Jenny, merupakan Unduk Ngadau Kapayan yang berkongsi pentas akhir di peringkat negeri bersamanya. Manakala kakak keduanya, Celarin Jenny, mewakili Kiulu dan meraih tempat ketiga pada pertandingan peringkat negeri tahun lalu.

Seorang lagi adiknya, Magdeline Jenny pula pernah dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Papar 2024.

Mageline (kiri), Vivi (dua dari kiri) dan Celarin (kanan) merakam kenangan bersama Gelvia. Foto J Evachel John

Sebagai Unduk Ngada, Gelvia berharap dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan bersungguh-sungguh serta menggunakan platform itu untuk memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita muda.

Beliau turut menggalakkan peserta yang bercadang menyertai Unduk Ngadau pada masa depan supaya berani merebut peluang tersebut.

“Ambillah peluang ini untuk mencuba benda baharu dan mencabar diri sendiri.

“Pengalaman ini sangat berharga kerana ia membantu membentuk keperibadian dan keyakinan diri,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan selepas ini, Gelvia berkata beliau mahu memberi tumpuan kepada tanggungjawab sebagai Unduk Ngadau sebelum memulakan kerjaya.

“Saya mahu menyusun masa dengan baik dan fokus menjalankan tanggungjawab sebagai Unduk Ngadau Sabah terlebih dahulu sebelum meneruskan kerjaya apabila menerima panggilan kerja nanti,” katanya.

Sebagai juara, Gelvia membawa pulang wang tunai RM15,000, mahkota, trofi, biasiswa serta hadiah iringan bernilai keseluruhan RM120,000.

Naib juara dimenangi Juje Elor @ Francis yang mewakili Tuaran, manakala tempat ketiga menjadi milik Criszelbellkah Lorris dari Matunggong.

Juje membawa pulang hadiah bernilai RM75,000 termasuk wang tunai RM12,000, manakala Criszelbellkah menerima hadiah bernilai RM50,000 termasuk wang tunai RM10,000.

Tempat keempat disandang Liane Melve Grace Lias (Bandaraya Kota Kinabalu), diikuti Kerishine Danil (Pagalungan) di tempat kelima, Gadrette Gregory (Penampang) di tempat keenam dan Myra Evana Robert (Sook) di tempat ketujuh.

Mereka masing-masing menerima wang tunai RM8,000, RM6,000, RM5,000 dan RM4,000 selain biasiswa serta hadiah iringan bernilai antara RM32,000 hingga RM36,000.

Pertandingan Unduk Ngadau merupakan antara acara kemuncak Pesta Kaamatan yang diadakan bagi memperingati pengorbanan Huminodun, gadis yang menurut legenda dikorbankan oleh bapanya, Kinoingan, demi menyelamatkan rakyat daripada kebuluran dan membawa hasil tuaian yang melimpah ruah.

RELATED ARTICLES
Utama

Infrastruktur Sabah semakin kukuh dengan peningkatan dana interim – Azrul

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular