HomeSukanDeruman enjin motorsikal 'gegar' SICC, tarik minat pengunjung

Deruman enjin motorsikal ‘gegar’ SICC, tarik minat pengunjung

Read Time:1 Minute, 32 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu: Deruman enjin pelbagai jenis motorsikal berkuasa besar sempena Festival Pemotoran Berkuasa Besar Antarabangsa Pulau Borneo (BIIBBF) kali ke-22 ‘menggegarkan’ perkarangan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Festival berlangsung selama tiga hari bermula semalam itu disertai lebih 1,000 peserta dengan kira-kira 500 motosikal berkuasa besar dari Sabah, Sarawak dan Labuan, selain negara jiran, Brunei Darussalam dan Indonesia.

Turut menyertai festival itu ialah peserta dari Singapura, Thailand, Myanmar, Korea Selatan, India dan Afrika.

Presiden Persatuan Penunggang Motosikal Besar Sabah (SBBA), Datuk Osman Ahmed berkata, acara itu adalah antara program yang diatur dalam BIIBBF Ke-22 untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan penggemar motosikal besar dengan penekanan terhadap aspek keselamatan di jalan raya.

Acara itu juga katanya satu cara untuk memperkenalkan bandar raya Kota Kinabalu dan Sabah keseluruhannya kepada peserta yang datang dari luar negara.

“Alhamdulillah hubungan kita dalam sukan permotoran ini amat menggalakan ke Sabah dan seramai 1,150 orang peserta telah mendaftar dan dianggarkan lebih 500 buah motorsikal hadir pada program kali ini.

“Hari ini juga kita mengadakan ‘City Ride’ sekitar Kota Kinabalu dengan jarak perjalanan lebih kurang 20 kilometer dan saya sendiri akan mengetuai konvoi  ini selaku pengerusi penganjur dan bersama-sama lima bikers seluruh kepulauan borneo  daripada Labuan, Sarawak, Indonesia dan juga Negara Brunei Darussalam,” katanya.

Dalam pada itu, Osman berkata, keadaan jalan raya penting kepada pengguna jalan raya, termasuk kepada penggiat sukan pemotoran untuk mengembangkan lagi aktiviti sebagai satu tarikan yang boleh menjana ekonomi.

“InsyaAllah sedikit masa lagi apabila Lebuhraya Pan Borneo ini sudah selesai sepenuhnya, kita akan membuat satu program lagi program sebagai produk baharu pelancongan di Sabah,” katanya.

Beliau yakin dengan keadaan jalan lebih baik apabila projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah siap sepenuhnya, ia bakal melonjakkan aktiviti yang boleh menjana ekonomi, termasuk sukan pemotoran motosikal berkuasa besar. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

EIS 2024 bantu tingkat industri sukan di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular