HomeUtamaLebih 100,000 pengunjung dijangka hadir meriahkan Tamu Besar Kota Belud

Lebih 100,000 pengunjung dijangka hadir meriahkan Tamu Besar Kota Belud

Read Time:1 Minute, 29 Second

Kota Kinabalu : Seramai 100,000 orang pengunjung dijangka hadir bagi memeriahkan program Tamu Besar Kota Belud 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula 1 November ini. 

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Diyanah Abdullah berkata, pelbagai acara menarik serta reruai jualan selain penganjuran berskala besar bakal menjadi tarikan utama yang akan menarik orang ramai untuk datang.

“Tamu Besar Kota Belud memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai kekayaan seni, budaya dan tradisi masyarakat Sabah sekaligus menarik pelancong dari dalam serta luar negara. Penganjuran kali ini dilaksanakan dengan skala yang lebih besar yang diadakan selama tiga hari.

“Majlis perasmian akan diadakan di padang pekan Kota Belud dan akan diikuti dengan pelbagai aktiviti seperti persembahan kebudayaan, sukan rakyat, pameran dan jualan produk kraf, komuniti, serta tradisional,” katanya ketika ditemubual SabahFM, di sini semalam.

Diyanah berkata, penganjuran kali ini melibatkan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan kerajaan negeri Sabah yang akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

“Saya menyeru kepada semua yang berada di Kota Belud dan daerah berhampiran seperti Kota Kinabalu dan Tuaran untuk datang beramai-ramai memeriahkan program tersebut yang berlangsung selama tiga hari.

“Pihak penganjur juga telah menyediakan bas di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Usukan, Kadamaian, Pintasan dan Tempasuk. Terdapat tapak letak kenderaan disediakan di perkarangan berhampiran tapak program tamu selain perkhidmatan shuttle kepada para pengunjung untuk ke padang pekan Kota Belud,” katanya.

Tamu Kota Belud merupakan tamu tertua Sabah yang awalnya dikenali sebagai Tamu Tempasuk dan telah dimulakan oleh Residen British pertama di Tempasuk, William Pretyman, pada 13 Disember 1878 dengan tapak asal berada di Kampung Siasai.

Beroperasi seawal jam 6 pagi, Tamu Tempasuk menjadi pusat pertemuan dan perniagaan masyarakat pelbagai kaum antaranya Bajau, Kadazandusun, Iranun dan Cina pada ketika itu.

RELATED ARTICLES
Utama

IKMa komited bimbing koperasi dalam penggunaan teknologi AI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular