HomeUtamaMUIS salur sumbangan kepada enam masjid sekitar ibu negeri

MUIS salur sumbangan kepada enam masjid sekitar ibu negeri

Read Time:1 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menyalurkan sumbangan berjumlah RM48,000 kepada enam masjid di sekitar ibu negeri untuk menyokong aktiviti pengimarahan dan bil utiliti.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, berkata usaha pengimarahan masjid terus menjadi fokus utama kerajaan negeri antaranya melalui kerjasama erat antara MUIS dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

“Selain pembangunan fizikal masjid kita turut menumpukan kepada pengimarahan melalui pelbagai program keagamaan dan pembangunan komuniti.

“JHEAINS juga berperanan sebagai pemantau kepada pelaksanaan projek berkaitan hal ehwal Islam termasuk yang sedang dan akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Mahabbah Bersama Agensi-Agensi Islam Negeri Sabah 2026M/1447H, di sini pada Rabu.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin yang turut menyampaikan sumbangan kepada 20 asnaf.

Di samping itu, Tun Musa juga menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada pengerusi-pengerusi Masjid Bandar Kota Kinabalu, Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang, Masjid Daerah Putatan, Masjid Jamek Putatan, Masjid As-Sobirin Kg. Sipanggil dan Masjid Al-Hilal Tanjung Dumpil.

Menurut Arifin, beberapa perancangan pembangunan turut digerakkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) termasuk pembinaan sekolah menengah agama negeri serta projek berkaitan pendidikan Islam.

“Langkah ini selari dengan usaha memperkukuh pembangunan hal ehwal Islam secara menyeluruh di Sabah.

“Pembangunan masjid, pendidikan agama dan pengukuhan ekonomi umat Islam menjadi antara objektif yang terus diperkasakan,” katanya.

Majlis berkenaan menghimpunkan lebih 500 peserta melibatkan 17 agensi agama bertujuan mempererat hubungan antara organisasi.

RELATED ARTICLES
Utama

Selat Melaka Kekal Di Bawah Kendalian Serantau, Tiada Keperluan Campur Tangan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular