HomePolitikGagasan Rakyat tubuh jawatankuasa perunding agihan kerusi dengan komponen parti GRS

Gagasan Rakyat tubuh jawatankuasa perunding agihan kerusi dengan komponen parti GRS

Read Time:1 Minute, 40 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) telah menubuhkan satu jawatankuasa perunding bagi membincangkan pengagihan kerusi wakil calon pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang dengan parti-parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) termasuk parti yang mendukung kerajaan iaitu Pakatan Harapan (PH) Plus.

Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Hajiji Noor berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh timbalan presidennya Datuk Seri Masidi Manjun.

“Jawatankuasa pengagihan kerusi ini ditubuhkan adalah untuk berbincang dengan parti-parti komponen dalam GRS termasuklah juga parti yang mendukung kerajaan sekarang ini iaitu PH-Plus,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Gagasan Rakyat Sabah di sini, hari ini.

Hajiji berkata, perbincangan pengagihan kerusi tersebut memfokuskan parti-parti komponen GRS terlebih dahulu, namun katanya, tidak menutup pintu kepada parti-parti lain yang menyokong kerajaan perpaduan.

“Kita fokuskan kepada perbincangan dengan rakan-rakan kita di dalam kerajaan. Tapi, ini tidak bermakna kita menutup pintu kepada parti-parti yang lain yang juga mendukung kerajaan perpaduan ini.

“Jadi, kita sentiasa terbuka dan boleh berbincang, yang penting ialah untuk kebaikan negeri kita,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai perbincangan mesyuarat hari ini, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, ia membincangkan kepada persiapan untuk mengadakan Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat yang dijadualkan pada 8 hingga 10 November ini.

Menurutnya, seramai 6,000 perwakilan dan pemerhati dijangka akan hadir pada persidangan itu.

Katanya, setakat ini, lebih 304,817 orang keahlian Gagasan Rakyat dan cawangan sebanyak 6,977.

“Jadi, inilah parti yang kita gerakkan untuk memberi khidmat kepada rakyat, terutama sekali menjelang pilihan rayw akan datang ini. Kerana semua parti pun, termasuklah parti yang saya pimpin ini dan juga parti-parti komponen GRS untuk mempersiapkan diri menghadapi pilihan raya yang akan diadakan selewat-lewatnya pada bulan Oktober tahun depan.

“Selain daripada membahas ucapan dasar Presiden, kita juga akan membahaskan usul mengenai ekonomi pendidikan.

“Jadi, kita telah juga menetapkan para perwakilan yang akan mengambil bahagian untuk membahaskan usul-usul yang akan diketengahkan di dalam persidangan ini,” jelasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

RM6.2 juta disalurkan kepada 176 sekolah, badan keagamaan bukan Islam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular