HomeIsu tempatanUMS perkukuh penyelidikan Ekonomi Biru dan keselamatan maritim Sabah 

UMS perkukuh penyelidikan Ekonomi Biru dan keselamatan maritim Sabah 

Read Time:1 Minute, 23 Second

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menubuhkan Pusat Penyelidikan Ekonomi Biru dan Keselamatan Maritim (PPEBKM) sebagai usaha untuk memperkukuhkan penyelidikan berkaitan ekonomi biru dan keselamatan maritim khususnya di Sabah.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, penubuhan tersebut adalah selari dengan agenda kerajaan negeri di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya.

“Seperti yang kita tahu, ekonomi biru adalah satu agenda besar kerajaan negeri di bawah SMJ, dengan peranan universiti yang mempunyai pakar dalam hal ekonomi biru dan maritim menjadikan ianya sesuai untuk penubuhan pusat ini.

“Banyak penyelidikan boleh dilakukan berkaitan ekonomi biru dan keselamatan boleh diterbitkan dalam jurnal bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan bangunan pejabat PPEBKM di Pantai Pusat Pembangunan Luar (ODEC), UMS.

Tambah Kasim, Sabah mempunyai khazanah luas yang perlu diterokai dan sudah pastinya menjadi sumber ekonomi yang besar untuk negeri ini.

“Dari segi keselamatan maritim, kita satu-satunya yang dikelilingi tiga laut iaitu Laut China Selatan, Laut Sulu dan di bahagian selatan Laut Celebes.

“Ketiga-tiga lautan ini terdedah dengan pelbagai ancaman termasuk penyeludupan, penculikan, peras ugut dan sebagainya,” ujar Kasim.

Kasim turut berkata, pengumpulan pelbagai kajian dan data penyelidikan akan membawa kepada terbentuknya dasar.

Mengulas lanjut, Kasim juga berkata, peranan pusat ini adalah untuk memperkaya sumber penyelidikan dan khazanah ilmu untuk generasi akan datang, selain turut menjadi pusat makmal dan penyelidikan yang akan dijalankan secara menyeluruh di lautan yang mengelilingi Sabah.

Pada majlis tersebut, Kasim turut menyempurnakan pelancaran Jurnal dan Pangkalan Data PPEBKM.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat Sabah Maju Jaya, Ramlee Kariah; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly serta Pengarah PPEBKM UMS, Prof. Dr. Ismail Ali.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Pelajar kejuruteraan UMS teroka pembinaan jambatan ‘Pre-Cast’ di Petagas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular