Kota Kinabalu: Pertubuhan Kebajikan Asnaf Azzahra akan melaksanakan siri Kem Remaja bermula tahun depan yang merupakan kesinambungan kepada penganjuran terhadap golongan asnaf sebelum ini.
Presidennya, Sharifah Seri Tuanku Sh. Hamid berkata, penganjuran kem itu dijangka akan dilaksanakan seawal Januari depan di Tuaran seterusnya ke beberapa kawasan yang mempunyai golongan asnaf dan mualaf.
“Tujuan kami untuk menyantuni golongan asnaf dan mualaf dan sebelum ini kami telah berjaya melaksanakan program berkenan di Menggatal dan Sepanggar.
“Di samping itu, kami berusaha membantu Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) memberi bantuan pendidikan kepada golongan asnaf dan mualaf yang memerlukan khususnya yang berada di luar bandar.
“Dalam masa terdekat, kami akan mengadakan program berkhatan beramai-ramai di Kampung Pirasan, Kota Belud membantu golongan berkenaan yang memerlukan kemudahan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat kunjungan hormat kepada Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah di Istana Seri Kinabalu.
Sharifah berkata, kunjungan itu adalah untuk memperkenalkan pertubuhan tersebut yang ditubuhkan pada 13 Oktober 2021 selain menerangkan objektif penubuhannya serta berbincang kolaborasi bagi mengadakan program pada masa akan datang.
Sejurus selepas itu, Toh Puan Norlidah turut menerima kunjungan daripada Konsul Agung Negara Brunei Darussalam yang baharu, Fauzana Octavia yang menggantikan Awang Hipni Matarsad.
Sebelum ini beliau bertugas di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Brunei Darussalam dan bertugas secara rasmi di Sabah pada 14 Jun lepas.