HomeIsu tempatanImpian guru sediakan alat belajar tercapai

Impian guru sediakan alat belajar tercapai

Read Time:1 Minute, 51 Second

Kota Belud : Impian seorang guru matematik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi 1 di sini untuk melihat pelajarnya mendapat kalkulator saintifik akhirnya tercapai apabila hasratnya itu direalisasikan Petronas menerusi inisiatif ‘Petronas 50 Dreams’ baru-baru ini.

Guru berkenaan Suriantika Zainuddin mengakui tidak menyangka apabila Petronas menyumbangkan 100 set kalkulator saintifik kepada sekolah berkenaan sekaligus menunaikan impian dan memenuhi keperluan kritikal pelajar di sekolah berkenaan.

Katanya, matematik merupakan subjek yang semakin mencabar pada masa ini dan lebih sukar untuk melaksanakan pengajaran sekiranya pelajar tidak mempunyai peralatan yang sesuai.

“Sekolah kami memang mempunyai kalkulator sebelum ini, tetapi tidak mencukupi dan tidak dalam keadaan yang baik dan kalkulator itu juga diperlukan untuk subjek Sains.

“Dengan penggunaan kalkulator moden ini,  pelajar yang bergelut untuk menguasai matematik mampu menyelesaikan soalan yang kompleks jika mereka mahir menggunakan peralatan berkenaan,” katanya.

Majlis penyerahan kalkulator itu telah diadakan di sekolah berkenaan selain turut diadakan bengkel matematik untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah itu yang menampilkan guru matematik cemerlang Zulkifle Mohamad dan Wirda Diyana Wan Ibrahim.

Suriantika yang telah berkhidmat selama 16 tahun yakin inisiatif seumpama itu akan dapat membantu mempromosikan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) di Sabah.

Katanya,  bengkel tersebut juga dapat menjadikan matematik lebih seronok, sekaligus menghakis tanggapan bahawa matematik merupakan subjek yang ‘sukar’.

Sementara itu, Pengurus Besar Pejabat Wilayah Petronas Sabah dan Labuan Siti Ayu Abdul Wahab berkata, pihaknya terharu dengan dedikasi guru disekolah berkenaan yang bersemangat untuk membantu pelajar.

“Ketika kami menyemak permohonan itu, kami terharu dengan dedikasi guru-guru di sini yang begitu bersemangat untuk membantu pelajar.

“Kami berterima kasih kepada Cikgu Suriantika kerana mengemukakan perkara ini kepada kami. Kami menyokong usaha ini dengan sepenuh hati kerana ia selaras dengan komitmen kami untuk memajukan pendidikan STEM,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif ini bukan sahaja menyerlahkan komitmen PETRONAS untuk memperkasakan masyarakat setempat tetapi juga memperkukuh semangat perpaduan yang tertanam dalam budaya Malaysia. 

“Kita saling membantu untuk memastikan tidak kira dari mana seseorang itu datang, mereka berpeluang untuk berjaya dan mencapai potensi sepenuhnya,” katanya.

Sempena ulang tahun Petronas yang ke-50, syarikat tenaga global tersebut telah menganjurkan program Petronas 50 Dreams.

Menerusi program tersebut yang dilaksanakan sepanjang musim perayaan, Petronas merealisasikan 50 impian kalangan mereka yang memerlukan. – SABAH MEDIA / FOTO PETRONAS

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Orang ramai dijemput hadir ke pameran khas karya seni Tuan Yang...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular