Kota Kinabalu : Semua Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) termasuk di Sabah akan ditransformasi kepada Pusat Kecemerlangan (CoE).
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib berkata, ia adalah bagi melahirkan tenaga kerja kesihatan yang mahir dan berkualiti.
“Kerajaan pada masa ini belum ada perancangan untuk membina Pusat Latihan Jururawat di Sabah. Namun, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mentransformasi semua ILKKM menjadi (CoE).
“Untuk tujuan ini, ILKKM Sabah akan dilengkapi dengan peralatan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang terkini pada tahun 2025 dengan peruntukan sebanyak RM199,626,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Dr. Jaujan Sambakong [Sulabayan- Warisan] pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
James berkata, kebajikan dan keselesaan pelatih ILKKM Sabah juga turut diberi perhatian dengan penggantian kelengkapan asrama yang telah usang yangdibekalkan pada Oktober lalu dengan kos sebanyak RM737,040.
Dalam perkembangan lain, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Samad Jambri ketika menjawab pertanyaan Datuk Anwar Ayuub @ Annuar Ayub [Liawan-STAR] berkata, program pemasangan Lampu Jalan Kampung (LJK) Semenanjung dan Sabah telah memasuki Fasa 11 dengan jangkaan tamat kontrak pada 29 November 2024
Katanya, melalui projek ini, sebanyak 1,910 unit LJK telah diperuntukkan di seluruh Negeri Sabah.
“Peruntukan LJK pada tahun hadapan bagi
Negeri Sabah hanya melibatkan peruntukan kos operasi dan penyelenggaraan bagi membiayai bil elektrik, pembaikan serta penyelenggaraan lampu-lampu jalan kampung yang telah dipasang
oleh KKDW sejak tahun 2002.
“Bagi peruntukan pemasangan lampu
baharu, program ini akan diteruskan sekiranya masih lagi terdapat keperluan dan tertakluk kepada kelulusan peruntukan tahunan,” katanya. – SABAH MEDIA