HomeUtamaDUN Sabah : KePKAS ambil pendekatan yakinkan negara luar tahap keselamatan pantai...

DUN Sabah : KePKAS ambil pendekatan yakinkan negara luar tahap keselamatan pantai timur Sabah

Read Time:1 Minute, 31 Second

Kota Kinabalu : Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (kePKAS) mengambil beberapa pendekatan dalam berhubung nasihat perjalanan (travel advisory) bagi menyakinkan negara-negara terbabit terhadap tahap keselamatan di kawasan Pantai Timur Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Christina Liew berkata, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) telah mengadakan perjumpaan bersama duta-duta di Kuala Lumpur untuk membincangkan berkenaan perkara ini.

“Susulan daripada perjumpaan ini juga, Kementerian Dalam Negeri bersama Eastern Sabah Security Command(ESSCOMM) dan wakil-wakil kedutaan  telah mengadakan lawatan ke kawasan perairan Lahad Datu dan Semporna untuk melihat secara fizikal tahap kawalan dan keselamatan kawasan ini.

“Pada masa yang sama, Kementerian juga telah memberikan input kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan dengan implikasi-implikasi dari sektor pelancongan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan ESSZONE yang diperkenalkan oleh MKN bagi menggantikan Perintah Berkurung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini semalam.

Christina berkata, Kementerian berharap melalui pendekatan ini, nasihat perjalanan yang dibuat dapat ditarik balik dari negara-negara berkenaan.

Dalam pada itu, Christina berkata, setakat September lalu, ketibaan pelancong ke Sabah adalah sebanyak 2,416,131 orang dengan anggaran perbelanjaan pelancongan berjumlah RM5.62 Billion.

Katanya, ini merupakan satu peningkatan yang memberangsangkan dengan kadar pertumbuhan sebanyak 28.3 peratus berbanding tahun lalu.

“Negara China  merupakan  sumber  terbesar  ketibaan  pelawat  antarabangsa  dengan menyumbangkan sebanyak 39 peratus ketibaan, diikuti ketibaan Brunei dan Korea Selatan.

“Peningkatan yang ketara ini didorong oleh jumlah penerbangan pada tahun ini, yang mana 98 peratus adalah melalui pengangkutan udara. Sebanyak 377  penerbangan domestik dengan 66,546 kapasiti tempat duduk seminggu yang menghubungkan negeri Sabah kepada beberapa negeri di Malaysia.

“Manakala bagi sektor antarabangsa pula, sebanyak 17 destinasi antarabangsa dengan jumlah penerbangan seminggu sebanyak 126 dengan kapasiti 23,394 tempat duduk,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Edward Linggu dipilih sebagai Senator Dewan Negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular