HomeUtamaBidang pendidikan, modal insan keutamaan kerajaan

Bidang pendidikan, modal insan keutamaan kerajaan

Read Time:1 Minute, 38 Second

Tuaran: Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada bidang pendidikan dan pembangunan modal insan negeri ini yang menjadi antara fokus utama Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri, Datuk Seri  Hajiji Noor berkata, untuk tujuan itu, Kerajaan Negeri telah menambah berlipat kali ganda peruntukan untuk pendidikan, termasuklah Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) pada tahun hadapan berjumlah RM127 juta.

Katanya, penambahan ini berupaya membantu lebih ramai lagi anak-anak Sabah yang berkelayakan, tetapi memerlukan bantuan dari segi pembiayaan kos pengajian mereka di institusi pengajian tinggi.

“Selain itu bantuan lain yang turut diberikan seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) sekali bayar,  Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA), Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) dan Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU)”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Rugading, Tuaran di sini hari ini.

Hajiji berkata, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan generasi muda memiliki asas pendidikan yang kukuh, lengkap dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan agar mereka dapat menghadapi masa depan dengan penuh keyakinan.

Katanya, Kerajaan Negeri akan menimbang untuk memberikan bantuan kepada pelajar Tingkatan 6 negeri ini.

Beliau turut menyokong cadangan agar sebuah sekolah baharu dapat dibina di kawasan Rugading bagi menampung jumlah murid yang terus meningkat setiap tahun.

Menyentuh bangunan baharu SK Rugading, beliau berkata, suasana pembelajaran yang kondusif dan dilengkapi dengan kemudahan terkini dapat mendorong pelajar untuk belajar dengan lebih berkesan dan memudahkan mereka mencapai potensi diri yang sebenar.

“Saya yakin, dengan adanya kemudahan ini, SK Rugading akan terus mencipta sejarah dalam melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang bukan sahaja di peringkat akademik, tetapi juga dalam kehidupan secara keseluruhan.

“Semoga bangunan baharu SK Rugading ini dapat memberi manfaat kepada rakyat terutama anak-anak di daerah Tuaran dan sekitarnya. Saya yakin pelajar sekolah akan dapat menimba ilmu pengetahuan dengan lebih berkesan dalam suasana yang lebih selesa berbanding dengan bangunan sebelum ini,”  katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

400 pelajar sertai Program Smart Jawab SPM 2024

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular