Kota Kinabalu: Taman Perdana Tanjung Aru di sini telah diberi kebenaran untuk beroperasi semula seperti biasa selepas ianya ditutup berikutan insiden pengunjung diserang memerang ketika beriadah di taman itu pada awal September lalu.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam satu kenyataan memaklumkan, kebenaran pengoperasian semula ini telah dimaklumkan kepada pihak pengurusan taman berkenaan sejak awal bulan ini untuk tindakan selanjutnya.
“Walau bagaimanapun, pembukaan semula taman ini adalah tertakluk kepada kesediaan pihak pengurusan taman.
“Sebarang pertanyaan berhubung operasi taman ini hendaklah dikemukakan kepada pihak pengurusan Taman Perdana Tanjung Aru,” menurut kenyataan itu di sini semalam.
Terdahulu, pada 11 September 2024, DBKK telah mengeluarkan notis penutupan kepada pengurusan Taman Perdana Tanjung Aru untuk menutup sementara pengoperasian susulan insiden serangan memerang terhadap pengunjung awam. – SABAH MEDIA