Kota Kinabalu : Kerajaan negeri akan terus menyokong inisiatif Persekutuan Tinju Malaysia dalam membangunkan sukan tinju di negeri ini ke tahap lebih baik.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, usaha itu penting bagi melahirkan peninju berbakat yang mampu mengharumkan nama negara keperingkat lebih tinggi.
“Saya difahamkan separuh daripada penyertaan peserta tinju pada kejohanan ini adalah dari Sabah dan Sabah sememangnya mempunyai ramai bakat berpotensi dan Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan kepada kemajuan sukan tinju d negeri Sabah.
“Presien tinju ada maklumkan bahawa kita kekurangan tempat berlatih di Sabah, jadi perkara ini saya akan maklumkan kepada Menteri Belia dan Sukan Sabah dan Ketua Menteri untuk kita laksanakan pelan pembangunan sukan tinju yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Kejohanan Tinju Kebangsaan di Dewan MAKSAK di sini.
Kejohanan itu disertai seramai 261 peserta dengan 100 jurulatih dan pengurus pasukan dari seluruh negeri.
Terdahulu ketika berucap, Shahelmey berkata, pendedahan berterusan dengan pelaksanaan yang sistematik perlu diberikan kepada sukan tinju agar impak positif akan dapat dikecapi.
Katanya, ia seterusnya dapat melahirkan petinju yang hebat serta dapat mengharumkan nama Malaysia di masa akan datang.
“Dalam usaha untuk membangunkan sukan tinju ke tahap yang lebih baik terutamanya di negeri Sabah, kami akan sentiasa menyokong segala inisiatif dan usaha baik yang dilakukan oleh persatuan Tinju baik diperingkat negeri Sabah mahupun peringkat Persekutuan.
“Saya difahamkan rekod petinju lagenda kita dari negara jiran Sarawak, iaitu Mejar Sapok Biki, iaitu pemenang pingat emas Sukan Komenwel tahun 1998 masih belum dapat dipecahkan sehingga kini.
“Saya berharap, di kejohanan ini, kita akan dapat mencungkil bakat-bakat baru serta mengasah bakat sedia ada untuk diserapkan ke pasukan tinju kebangsaan yang sekaligus akan memberikan mereka peluang untuk mewakili negara,” katanya. – SABAH MEDIA