HomeUtamaUSIA gerakkan koperasi, jenamakan semula Yayasan

USIA gerakkan koperasi, jenamakan semula Yayasan

Read Time:1 Minute, 55 Second

Kota Kinabalu : Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) akan menggerakkan koperasi dan menjenamakan semula sebuah yayasan  dalam membangunkan sosial dan ekonomi khususnya dalam kalangan ahli.

Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad berkata, ia merupakan antara perkara yang akan diangkat menerusi Pelan Strategik Pembugaran USIA 2.0 sebagai kesinambungan pelan strategik sedemikian sepanjang tiga tahun ini.

Beliau turut komited untuk meneruskan usaha mengembalikan kegemilangan pertubuhan itu sepanjang penggal kedua menerajui USIA bagi tempoh 2025-2027.

“Kita akan berusaha untuk membangunkan bidang sosial dan ekonomi.  Salah satunya ialah untuk mengangkat bidang koperasi dan menggerakkan Yayasan USIA seterusnya menjenamakan semula yayasan ini yang sebelum ini kurang digerakkan.

“Kita mengambil inisiatif ini sebab ada bukti koperasi ini boleh menjana kekuatan sendiri dan sebagai contoh USIA Tambunan salah satu bahagian yang ada koperasi yang berjaya dalam bentuk perumahan walaupun kecil dan dia boleh memberikan dividen kepada ahli.

“Kemudian ia boleh memberikan dividennya untuk kegiatan-kegiatan program USIA Tambunan. Jadi itu menunjukkan betapa USIA mahu menggerakkan yayasan dan koperasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung, Datuk Iman Ali; Bendahari Agung Sainuri Yahmin dan Penolong Setiausaha Agung, Zulhaimi Asbi.

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan USIA kali ke-38 Sabtu lalu, Sapawi mengekalkan jawatan  Yang Dipertua USIA bagi penggal kedua untuk tempoh 2025-2027.

Sapawi memperoleh 192 undi, menewaskan pencabarnya Dato Hj Mohammad Yusof Apdal yang memperoleh 124 undi. Terdapat enam undi rosak.

Dalam pada itu, Sapawi berkata, Pelan Strategik Pembugaran USIA 2.0 itu adalah bermatlamat menggilap, memperelok dan memperbaiki serta mengangkat gerakan dakwah USIA agar terus relevan dengan keperluan masyarakat dan perkembangan zaman.

Katanya, ia  akan dilaksanakan menerusikan usaha mempelbagai aktiviti dakwah dan mengukuhkan pengurusan organisasi, aset dan kewangan.

“Sebahagian besar agenda dalam pelan strategik 2022-2024 sudah dilaksanakan dan ia akan diteruskan dalam visi dan misi kita pada penggal kedua ini,” katanya 

Sementara itu, Sapawi berkata aspek pembangunan sumber manusia akan turut diberi penekanan menerusi program Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Pusat Latihan Dakwah Al-Bukhary.

“Pusat latihan di Kampung Marasinsim, Kota Marudu bakal menjadi mercu tanda baharu kejayaan USIA dalam bidang TVET,  khusus untuk pelajar lepasan tahfiz negeri ini.

“Apabila beroperasi tahun depan, pusat itu diharap dapat menyediakan pelajar lepasan tahfiz dengan pelbagai kemahiran berkaitan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Musa berjaya bangunkan ekonomi Sabah – Arif Sakaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular