Kota Kinabalu : Orang ramai khususnya peminat automotif dipelawa untuk hadir memeriahkan CULT X Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) Festival yang akan berlangsung 22 Disember ini bertempat di Padang Kawad UMS di sini.
Festival yang merupakan sebuah acara berimpak tinggi yang menggabungkan budaya automotif dan jaringan alumni itu dianjurkan Pusat Alumni UMS dengan kerjasama Cars, Urban Life Style & Trends (C.U.L.T)
UMS dalam satu kenyataan memaklumkan, penganjuran festival itu adalah sebagai satu usaha strategik untuk mengukuhkan kolaborasi antara alumni UMS dan komuniti tempatan.
Antara objektif utama program itu adalah bagi mewujudkan kerjasama silang antara Alumni UMS dan C.U.L.T untuk menjadikan festival ini sebagai acara tahunan.
“Selain itu, program ini juga dapat meningkatkan kesedaran terhadap peranan Alumni UMS dan budaya automotif di Sabah selain strategi pendanaan kepada Pusat Alumni UMS dan nilai tambah kepada Pengurusan Acara C.U.L.T.
“Program ini turut membina persekitaran mampan bagi memahami secara mendalam industri budaya automotif yang semakin mendapat perhatian generasi muda selain mencetuskan suasana perayaan yang bertepatan dengan cuti umum hujung tahun yang akan datang,” menurut kenyataan itu di sini.
C.U.L.T X Alumni UMS Festival bukan sahaja untuk mempamerkan kreativiti dan inovasi dalam budaya automotif tetapi juga untuk memperkukuh hubungan antara alumni UMS dan masyarakat umum.
Acara ini turut memberi peluang kepada pelbagai pihak untuk mengambil bahagian dalam aktiviti yang memfokuskan kepada budaya automatif, pengumpulan dana dan pertukaran idea dalam ekosistem budaya moden.
“Nantikan pelbagai aktiviti menarik yang akan diumumkan kelak termasuk pameran kenderaan, demonstrasi pemanduan selamat, pameran peralatan perkhemahan dan pelbagai persembahan istimewa,” menurut kenyataan itu lagi. – SABAH MEDIA / FOTO UMS