HomeUtamaKontraktor diminta tingkat prestasi pembinaan Lebuhraya Pan Borneo

Kontraktor diminta tingkat prestasi pembinaan Lebuhraya Pan Borneo

Read Time:1 Minute, 31 Second

Beaufort: Pihak kontraktor yang melaksanakan projek pembinaan lebuh raya Pan Borneo Sipitang dan Beaufort diminta untuk meningkatkan lagi prestasi pelaksanaan bagi membolehkan ianya siap mengikut jadual ditetapkan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pihak terlibat juga perlu segera menyelesaikan isu teknikal agar tidak menggangu kemajuan kerja yang dilaksanakan.

“Dalam lawatan kerja ke Sipitang pada kali ini, saya turut meninjau kemajuan kerja pakej Pan Borneo iaitu pakej satu dan pakej dua di Sipitang dan Beaufort.

“Saya melihat sendiri dari dekat isu-isu semasa yang menyebabkan kelewatan prestasi kerja pakej-pakej ini, jadi turut hadir dalam lawatan kerja ini adalah pihak kontraktor dan juga pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak jururunding pengurusan projek.

“Ada beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan, saya minta mereka selesaikan segera agar isu-isu tersebut tidak lagi mengganggu kemajuan kerja yang sedang dilaksanakan dan saya berharap pihak kontraktor juga meningkatkan lagi prestasi mereka agar projek ini boleh kita siapkan dalam jangka masa yang kita jangkakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi beliau ke Daerah Sipitang di Projek Pan Borneo WP02 Beaufort di sini semalam.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata, Pakej 1 Pan Borneo dijangka siap pada penghujung  2025 manakala pakej dua masih menunggu semakan jadual. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berharap agar projek Pan Borneo dapat disiapkan mengikut jadual demi manfaat rakyat.

“Selaku ahli Parlimen, saya mengharapkan supaya projek ini dapat dilaksanakan dengan segera kerana menjadi kepentingan rakyat dan merupakan laluan utama bukan sekadar dari Sarawak tetapi juga Brunei. 

“Ini juga merupakan satu keperluan yang sangat penting dan kita harapkan supaya akan ada kolaborasi bukan sekadar JKR, Kementerian tetapi juga pihak kontraktor supaya projek ini dapat dilaksanakan dan akhirnya apa yang mendapat manfaat adalah rakyat,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Musa berjaya bangunkan ekonomi Sabah – Arif Sakaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular