Beaufort : Para pemimpin masyarakat khususnya di daerah ini perlu sentiasa peka dengan perubahan cuaca selain mengenal pasti kawasan berisiko terutama yang berhampiran sungai.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslam Muharam berkata, pihak terlibat boleh melakukan persediaan awal termasuk memaklumkan kepada penduduk sekitar sekiranya berlaku sebarang bencana.
“Dalam persiapan kita menghadapi banjir ini juga, sudah tentu kita mahu penduduk terlibat agar memastikan dokumen penting itu harus diselamatkan dan begitu juga harta-harta yang mungkin ditenggalami air.
“Jadi sekiranya ini kita dapat lakukan lebih awal, kita boleh mengelak daripada sebarang kerugian. Maksudnya disini kita perlu mengambil perhatian untuk kebaikan rakyat itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Gelanggang Futsal Kampung Padas valley di sini semalam.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, antara persediaan dilakukan adalah menyarankan penduduk berpindah ke kawasan selamat.
Katanya, ia termasuklah ke rumah saudara serta memaklumkan Pegawai Daerah sekiranya perlu dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara.
Dalam pada itu, ditanya mengenai majlis itu, Ruslan berkata, gelanggang futsal itu adalah bagi menggalakkan komuniti setempat khususnya golongan belia akan terus bergiat aktif dalam aktiviti sukan.
“Sudah tentu dengan adanya padang pusat ini, sudah tentu mereka mempunyai tempat yang berkumpul untuk melakukan aktiviti dan sudah tentu dengan adanya aktiviti sukan ini, kita dapat melihat mengukuhkan hubungan komuniti.
“Ini juga sekaligus akan dapat mengurangkan tekanan mereka kerana ada tempat mereka bermain selain mengamalkan hidup sihat,” katanya. – SABAH MEDIA