HomeUtamaJUM bantu usahawan muda Membakut tahun depan

JUM bantu usahawan muda Membakut tahun depan

Read Time:2 Minute, 51 Second

Membakut:   Jaringan Usahawan Muda Membakut (JUM) yang merupakan inisiatif di bawah Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut akan membantu golongan usahawan muda di daerah ini mulai tahun depan. 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata inisiatif itu akan diselaraskan dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Membakut dan Pejabat Daerah Membakut.

Katanya, pada masa ini, pihak terlibat kini sedang mengenal pasti serta mengumpul maklumat yang berkaitan. 

“Kita sudah mewujudkan JUM Membakut dan ini akan diselaras oleh pejabat ADUN untuk mengenal pasti usahawan-usahawan muda yang perlu dibantu. 

“Itulah sebabnya kita akan kumpul data mereka termasuk jenis perniagaan mereka dan perkara-perkara yang boleh memberikan kita mengumpul mereka dan mendengar apa keperluan mereka, apa yang perlu kita bantu dari mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Outreach Ketua Menteri Bersama NGO di bawah Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) 2024 di sini, semalam.

Mengulas mengenai bantuan RM500 di bawah SYABAS kepada 100 usahawan muda di Membakut, Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berkata, pihaknya bersama IKRAR komited memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh Ketua Menteri Sabah.

“Saya dapati ada usahawan muda kita yang mendapat pendapatan yang agak bagus, baik dan perniagaan mereka pun mendapat tempat dalam kalangan para pelanggan dan ini juga antara yang perlu kita bantu.

“Saya lihat tadi mereka sangat bersemangat dan saya bersama dengan IKRAR akan memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh maklumat Ketua Menteri untuk usahawan di kawasan Membakut ini. 

“Mereka ini berniaga ada yang di gerai-gerai, ada yang online dan ada yang di kedai. Ada yang disediakan di Anjung Wawasan yang dulu kita sediakan semasa saya jadi Pengerusi SEDCO, kemudian di Serambi Wawasan juga disediakan oleh SEDCO dulu tapi lebih ramai di gerai-gerai biasa, ada kanopi dan ada yang online,” katanya

Dalam majlis tersebut, Arifin diiringi Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Jabatan Ketua Menteri, Azrul Ibrahim menyampaikan bantuan RM500 kepada 100 usahawan Muda Membakut.

Sementara itu, Azrul memaklumkan setakat ini, seramai 4,500 peniaga muda sudah disantuni di seluruh Sabah dan berbaki 500 orang lagi melibatkan usahawan di beberapa kawasan pedalaman seperti Sugut, Tenom dan Nabawan.

“Program ini kita kenal pasti melalui pemimpin-pemimpin setempat dan dengan bantuan rakan strategik kita iaitu Badan Bukan Kerajaan (NGO).

“Tahun depan, Ketua Menteri minta IKRAR untuk melaksanakan program ini pada skala yang lebih baik, pada skala yang lebih besar melibatkan peniaga-peniaga di kampung-kampung, di ceruk-ceruk pedalaman. 

“Untuk baki 500 orang, kita usahakan untuk selesaikan tahun ini kalau tak sempat, kita selesaikan awal tahun depan,” katanya.

Bagi usahawan takoyaki dan kuih muih, Hibanah Syazwani Hibatur Rahman, 27, dari Kg Binsulok, bantuan yang diterimanya amat membantu perniagaan yang diusahakannya bersama suami sejak enam tahun lalu.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi sumbangan ini dan membantu perniagaan kami dan membuat pusingan modal untuk masa akan datang,” kata Hibanah Syazwani yang juga ibu kepada dua anak.

Nada sama turut diluahkan oleh usahawan minuman, Asmadi Olah, 31 yang berniaga tiga jenis air balang sejak 2018 untuk menyara keluarganya.

“Saya berniaga di tamu, tapi kalau hari biasa saya menjual air balang di tepi Jalan Kampung Mandangin sawah padi.

“Tentang bantuan ini saya berterima kasih kepada Ketua Menteri Sabah kerana membantu kami peniaga kecil ini di bawah program SYABAS, sekurang-kurangnya dapat membantu kami dalam perniagaan kecil kami rolling modal dalam perniagaan,” katanya.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Implikasi dan Cabaran Malaysia Sebagai Pasaran Pusat Data Ketiga Terbesar Asia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular