SEMPORNA: Dua lelaki warga asing maut selepas terhumban ke laut dalam kejadian perlanggaran antara sebuah bot laju dan bot pelancong di perairan Kampung Balimbang, pagi semalam (12 Jan).
Kejadian berlaku kira-kira jam 9.45 pagi ketika bot pelancongan itu membawa 12 pelancong menuju ke Pulau Mabul, manakala bot laju berkenaan dinaiki dua individu terbabit.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol, berkata perlanggaran itu menyebabkan bot laju mengalami kerosakan teruk sebelum kedua-dua mangsa terhumban ke laut.
“Usaha mencari mangsa dilakukan segera oleh orang awam termasuk kru bot pelancong, namun kedua-dua mangsa ditemukan tidak bernyawa di dalam air. Mangsa masing-masing berusia 45 dan 50 tahun,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Semporna untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian.
Menurut Mohd Sabri, polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil memberikan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohammad Hafizudin Akram Ghafar di talian 013-7557293 atau balai polis berhampiran.
Beliau juga menasihatkan semua pemilik dan pengendali bot supaya lebih berhati-hati, terutama ketika beroperasi di kawasan perairan yang sibuk.
“Patuhi langkah keselamatan termasuk menyediakan jaket keselamatan serta memastikan bot dilengkapi peralatan keselamatan seperti lampu, terutamanya pada waktu malam,” katanya.