HomeUtamaKeberdayaan Perlombongan Unsur Nadir Bumi di Malaysia: Antara Potensi dan Cabaran

Keberdayaan Perlombongan Unsur Nadir Bumi di Malaysia: Antara Potensi dan Cabaran

Read Time:3 Minute, 48 Second

Oleh: Wan Azrain Adnan

Beberapa minggu yang lalu, Premier Sarawak menyatakan bahawa kerajaan negeri tidak akan tergesa-gesa dalam melaksanakan aktiviti perlombongan Unsur Nadir Bumi (REE) bagi memastikan kelestarian alam sekitar terpelihara. Sarawak, yang kaya dengan sumber alam, lebih cenderung kepada industri yang lebih mesra alam berbanding perlombongan REE yang boleh menjejaskan ekosistem.

Potensi Sumber Mineral di Malaysia

Menurut rekod Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Sarawak merupakan salah satu daripada 10 negeri dan wilayah di Malaysia yang berpotensi memiliki REE. Negeri-negeri lain termasuk Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, dan Selangor. Sumber mineral ini dianggarkan bernilai RM809.6 bilion.

Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021–2030 menggariskan bahawa jumlah nilai keseluruhan sumber mineral negara dianggarkan sekitar RM4.11 trilion. Ini menunjukkan Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan sumber mineral, yang merangkumi tiga kategori utama:

  1. Mineral berlogam – Timah, bauksit, tembaga, emas, dan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE).
  2. Mineral bukan logam – Pasir silika, kuarza, dan batu kapur.
  3. Mineral tenaga – Arang batu.

Perancangan dan Pembangunan Industri REE

Menyedari potensi besar sumber REE, Perdana Menteri Malaysia menekankan kepentingan untuk membangunkan industri ini dengan kerjasama organisasi antarabangsa yang memiliki kepakaran dalam bidang tersebut. Malaysia berhasrat untuk mengembangkan keseluruhan rantaian industri REE dari peringkat huluan, pertengahan, hingga hiliran.

Pada November 2024, Menteri Ekonomi Malaysia menyatakan bahawa sumber REE tempatan dijangka boleh diproses di dalam negara dalam tempoh tiga tahun akan datang. Walau bagaimanapun, teknologi pemprosesan REE ketika ini hanya terdapat di China, dan rundingan sedang dilakukan antara kedua-dua negara.

Selain itu, kerajaan juga merancang untuk menarik pelaburan teknologi tinggi ke dalam negara dengan pembinaan dua kilang pemprosesan REE dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Jaminan Hak Milik dan Potensi Ekonomi Negeri

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia memberi jaminan bahawa hasil perlombongan NR-REE akan kekal menjadi hak milik kerajaan negeri dan wilayah, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa perlombongan mineral (selain minyak dan gas) adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Peranan kerajaan persekutuan lebih tertumpu kepada aspek eksport serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) hasil mineral.

Dengan potensi besar ini, sumber mineral mampu menjana pendapatan yang signifikan kepada negeri dan wilayah yang terlibat. Ini penting untuk merangsang pembangunan ekonomi dan sosial, terutamanya bagi negeri-negeri yang masih kurang membangun seperti Terengganu, Perak, dan Sabah.

Terengganu sebagai Hab Pengeluar REE

Berdasarkan data JMG, Terengganu memiliki sumber NR-REE terbesar di Malaysia, berjumlah 7,187,500 tan (47%) daripada jumlah keseluruhan negara yang berjumlah 15.2 juta tan. Pada Oktober 2023, kerajaan negeri menubuhkan Majlis Mineral REE bagi mengurus dan memudahkan pembangunan industri REE di Terengganu. Sasaran utama adalah untuk menjadikan Terengganu sebagai hab utama pengeluaran dan pemprosesan REE, meliputi industri pertengahan (midstream) dan hiliran (downstream).

Star Group Industry Co. Ltd dari Korea Selatan telah bersetuju untuk membina kilang pemprosesan NR-REE berhampiran Pelabuhan Kemaman, dengan fokus kepada teknologi Super Magnet. Syarikat ini merupakan peneraju utama dalam industri tersebut dan menduduki tempat ketiga di peringkat global.

Baru-baru ini, Kerajaan Terengganu menetapkan bahawa semua hasil REE tidak boleh dibawa keluar dari negeri tanpa kebenaran dan perlu dijual kepada Perbadanan Menteri Besar Terengganu (MBI). Setakat ini, dua syarikat telah diberikan kelulusan untuk kerja-kerja penerokaan dan persampelan awal, namun kerajaan negeri masih belum menerima hasil daripada aktiviti perlombongan REE.

Dalam jangka masa panjang, perlombongan REE dijangka menjadi sumber pendapatan baharu yang dapat mengurangkan kebergantungan Terengganu terhadap hasil petroleum, yang ketika ini merangkumi lebih 80% daripada pendapatan negeri.

Pembangunan REE di Perak dan Sabah

Di Perak, projek perintis pengeluaran NR-REE telah dimulakan di kawasan seluas 216 hektar, dengan lebih 5,000 ekar lagi dalam perancangan setelah melepasi Penaksiran Kesan Persekitaran (EIA) dan menunggu kelulusan kerajaan.

Sabah pula memiliki pelbagai sumber mineral, termasuk emas. Pada April 2024, kerajaan negeri menerima royalti sebanyak 5% daripada hasil jualan emas mentah bernilai RM23.96 juta daripada lombong emas di Bukit Mantri, Tawau. Sejak mula beroperasi pada 2018, lombong ini telah menghasilkan 2,300 kg emas bernilai RM585 juta.

Dalam Belanjawan Sabah 2025, kerajaan negeri mengumumkan akan mengenakan Cukai Jualan Negeri (CJN) ke atas emas dan perak bermula Januari 2025, yang dijangka menyumbang RM5.7 juta kepada pendapatan negeri.

Cabaran dan Keperluan Pengurusan Berhemat

Sumber mineral berpotensi menjana pendapatan besar kepada negara serta negeri dan wilayah terlibat. Namun, sumber ini tidak boleh dimanfaatkan selama-lamanya kerana ia merupakan sumber yang terhad dan akan berkurangan setelah diekstrak.

Oleh itu, pengurusan yang kukuh dan telus amat diperlukan bagi memastikan hasil pendapatan digunakan secara bertanggungjawab. Strategi jangka panjang perlu dirancang agar manfaat daripada sumber mineral ini turut dapat dinikmati oleh generasi akan datang.


RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki cedera, terjatuh dari tingkap bilik tingkat dua bangunan di Putatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular