SANDAKAN: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah mengesa pemimpin di peringkat daerah supaya menyebarluaskan usaha kerajaan melalui dana bantuan kepada rakyat.
Katanya, pertama kali dalam sejarah Belanjawan Kerajaan Negeri 2025, telah memperkenalkan pelbagai insentif baharu kepada golongan rakyat bagi mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Tahun Baru Cina zon 10 Gagasan Rakyat Karamunting di salah sebuah restoran terkemuka di sini, kelmarin yang turut dihadiri Wakil Rakyatnya, Datuk George Hiew.
Wakil Rakyat Kuamut itu berkata, antara dana diperkenalkan termasuklah bantuan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), penjaja kecil dan bantuan sokongan pendidikan dari peringkat sekolah rendah hingga peringkat universiti.
Menurut Masiung, pertama kali dalam sejarah kerajaan negeri Sabah menawarkan bantuan percuma Rumah Mesra SMJ kepada golongan B40 dan dana RM5,000 kepada penjaja kecil.
” Setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberi kouta 40 buah Rumah Mesra SMJ untuk rakyat yang berkelayakan, sementara pelajar sekolah rendah hingga peringkat universiti
akan mendapat antara RM300 hingga RM2,500 seorang, ” katanya.
Selain itu katanya, kerajaan negeri juga turut memberi bantuan penerbangan kepada pelajar di Semenanjung Malaysia dan Sarawak sebanyak RM600 secara one off.
Jelasnya, Penuntut yang belajar di luar daerah di Sabah juga diberikan bantuan tambang RM300.
Masiung berkata, pemimpin daerah khususnya Pemuda, Wanita dan Beliawanis hendaklah menyebarluaskan kepada rakyat supaya mereka mendapat menfaat daripada ehsan kerajaan Sabah.
Sementara itu, ahli-ahli jawatankuasa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kawasan DUN hendaklah meneliti pelbagai bantuan yang telah diperkenalkan oleh kerajaan Sabah untuk dihebahkan kepada rakyat pelbagai golongan.