HomeUtamaPukul guna kasut tinggi, wanita didenda RM2,000

Pukul guna kasut tinggi, wanita didenda RM2,000

Read Time:1 Minute, 9 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: Gara-gara memukul mangsa dengan kasut tinggi, seorang wanita didenda RM2,000 atau dipenjara selama dua bulan jika gagal membayar denda, oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali mengenakan denda itu terhadap Flevia Bettar, 31, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan.

Flevia didakwa mencederakan seorang wanita berusia 31 tahun pada 14 Januari 2024, antara jam 1.10 pagi, di The Cruise, Tanjung Aru.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu (mangsa) menegur seorang pelanggan di meja sebelah. Apabila melihat pelanggan tersebut sedang bermain permainan video, pengadu berkata, “Ngam la, brads. Kau main game tu sebab kau pun tua sudah.”

Ketika pengadu mahu beredar, tanpa disedari, pelanggan tersebut membaling gelas ke arah pengadu, namun berjaya dihalang. Pada masa yang sama, tertuduh, yang merupakan rakan pelanggan tersebut, telah memukul pengadu menggunakan kasut tinggi.

Akibatnya, pengadu mengalami luka di bahagian hidung dan kepala.

Tertuduh ditahan pada 30 Januari 2024 susulan laporan polis yang dibuat oleh pengadu.

Dalam rayuan, peguam Rizwandean Bukhary M. Borhan yang mewakili tertuduh meminta denda minimum tanpa hukuman penjara kerana ini merupakan kesalahan pertama tertuduh. Menurutnya, tertuduh tidak bekerja dan menyesali kejadian tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan mengendalikan pendakwaan.

RELATED ARTICLES
Utama

Masiung tegaskan kilang simen Kuamut bawa manfaat besar kepada rakyat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular