SANDAKAN: Sabah mencatatkan penggunaan teknologi pertanian digital kedua tertinggi di Malaysia selepas Selangor menerusi inisiatif Malaysia Digital Agriculture Technology (Digital AgTech) yang dipacu oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, lebih 70 sistem Digital AgTech berasaskan teknologi Internet Kebendaan (IoT) telah dilaksanakan di Sabah meliputi sub-sektor tanaman, ternakan dan akuakultur sepanjang tahun 2024.
Menurutnya, kerajaan menyasarkan tambahan 10 sistem Digital AgTech pada tahun 2025, termasuk lima sistem yang diperkasakan dengan kecerdasan buatan (AI) bagi subsektor akuakultur dan ternakan.
“Program Jelajah Malaysia Digital (JMD) @ Sabah ini adalah sebahagian usaha kerajaan memperkukuh ekosistem digital di seluruh negara.
“Inisiatif ini selari dengan sasaran meningkatkan sumbangan ekonomi digital kepada 25.5 peratus daripada KDNK menjelang 2025 serta menyokong usaha mewujudkan lebih 500,000 pekerjaan baharu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Gobind berkata, transformasi digital dalam sektor pertanian merupakan antara keutamaan kerajaan selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.
Tambahnya, kerjasama erat antara Kementerian Digital (KD), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan akan terus diperkukuh bagi memastikan sektor ini berkembang secara mampan.
Sehingga penghujung Januari 2025, lebih 600 sistem Digital AgTech telah dilaksanakan di seluruh negara dengan 30,000 usahawan tani menerima latihan untuk mengadaptasi teknologi IoT dan AI dalam operasi harian mereka.
Menurutnya, inisiatif Digital AgTech yang meliputi semua sub-sektor pertanian telah membantu meningkatkan produktiviti sehingga 20 peratus, meningkatkan pendapatan sebanyak 20 peratus serta mengurangkan kos operasi sehingga 30 peratus.
“Digital AgTech turut memberi manfaat kepada komuniti B40 serta menarik penyertaan lebih ramai belia, dengan lebih 50 peratus peserta berusia bawah 40 tahun dan berpotensi menjana pendapatan tambahan sehingga RM10,000 setahun,” katanya.
Majlis pelancaran Jelajah Malaysia Digital@Sabah disempurnakan oleh Gobind bersama Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Datuk Mohd. Hanafiah Mohd. Kassim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKM, Datuk Azah Hanim Ahmad serta Naib Presiden Kanan MDEC, Datuk Ts. Fadzli Abdul Wahit.
Program ini turut mendapat sokongan rakan strategik MDEC seperti Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Agrobank dan pemain industri lain dalam ekosistem Digital AgTech negara.