Oleh ERDIE AB WAHID
Putatan : Pengundi muda bakal menjadi penentu selain memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Petagas Mohd Isquzawan Israq Arsit berkata, pengundi muda adalah bijak dan jentera parti perlu pandai mendekati mereka kerana pengundi muda merupakan antara komponen penting yang perlu diberi perhatian sewajarnya.
Katanya, pilihan raya pada tahun ini merupakan PRN pertama bagi pengundi yang bermula pada usia 18 tahun dan ianya amat wajar calon muda diketengahkan bagi mengimbangi suara golongan berkenaan.
“Kita memahami bahawa rata-rata pengundi yang berdaftar di seluruh Sabah ini, 60 peratus merupakan pengundi di bawah 40 tahun. Jadi, ini merupakan satu nombor yang amat besar yang perlu kita teliti.
“Jadi saya sebagai ketua bahagian menyarankan agar lebih ramai lagi calon-calon muda ini ditampilkan. Bukan sahaja daripada kaum lelaki, malahan juga keterlibatan daripada kaum wanita, muda dan sebagainya.
“Kalau di Petagas ini, berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kita mendapati hampir 60 peratus juga adalah pengundi 40 tahun ke bawah ini. Oleh kerana itu, kita perlu mencari pendekatan bagi mendekatkan golongan muda ini,” katanya ketika ditemui Sabah Media di sini semalam.
Isquzawan berkata, oleh kerana itu perlunya wakil calon muda ditampilkan pada PRN akan datang agar Gagasan Rakyat itu terus dekat dihati golongan muda selain memberi kelebihan kepada orang muda untuk menjadi salah satu sebahagian daripada pembuat dasar dan keputusan.
Katanya, idea golongan muda juga akan dapat diutarakan selain diangkat ke Kabinet seterusnya melaksanakan pelbagai program serta menyalurkan bantuan kebajikan kepada rakyat.
“Kita khuatir sekiranya kita tidak dekat dengan mereka ini, kita tidak memberikan sesuatu yang dapat menarik minat mereka ini, kita takut mereka ini di atas pagar ataupun yang tidak baiknya mengundi kepada pihak lawan,” katanya.
Dalam pada itu, Isquzawan berkata, golongan muda pada masa ini lebih cenderung memilih kepada kriteria calon yang boleh didekati berbanding parti.
“Bagi saya, pengalaman selama berkecimpungan dalam dunia politik ini, kalau dahulu memang mereka melihat dari segi parti, tetapi akibat perubahan daripada pilihan raya sebelum ini, di mana kestabilan kerajaan itu agak kurang keseimbangan, maka mereka ini lebih memilih kepada kriteria calon.
“Sebab bagi mereka parti ini hanya platform, tetapi yang akan menggerakkan parti, akan mendekat dengan mereka, mudah untuk mereka menyampaikan idea atau kemudahan dan sebagainya adalah calon yang mesra, yang boleh didekati oleh mereka.
“Jadi, bagi saya memang mana-mana pun kalau dilihat, kita tanya kepada kawan-kawan di bahagian lain pun, memang salah satu faktor mereka ini untuk turun mengundi adalah disebabkan oleh faktor calon itu atau pemimpin itu sendiri,” katanya. – SABAH MEDIA