HomeUtama29 kategori "projek sakit" dan dua daripadanya di Sabah

29 kategori “projek sakit” dan dua daripadanya di Sabah

Read Time:2 Minute, 10 Second

Oleh FLORIETA DIET

KOTA KINABALU: Sebanyak 801 projek yang sedang dilaksanakan di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) di seluruh negara, hanya 29 projek atau kira-kira 3.62 peratus dikategorikan sebagai “projek sakit” dua daripadanya adalah projek di Sabah,” kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata demikian ketika meninjau perlaksanaan projek milik Kementerian Pertahanan Malaysia iaitu Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) pelbagai kelas di Kem Lok Kaw dekat sini pada Isnin.

Antara projek sakit itu adalah sebanyak enam projek di Kementerian Pendidikan Malaysia, lima projek di Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kemajuan Desa Wilayah (4), Kementerian Kesihatan Malaysia (4), Kementerian Pertahanan Malaysia (3), Jabatan Perdana Menteri (2), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan(2), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (1), Kementerian Perdidikan Tinggi (1), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (1).

Beliau menjelaskan bahawa, 76 peratus dari projek sakit itu mengalami kelewatan dan masalah disebabkan oleh kontraktor.

“Di antara masalah utama yang dikenal pasti adalah pengurusan dalaman kontraktor yang lemah, termasuk kegagalan dalam mengurus pekerja dan sumber yang ada,” katanya.

Mengenai tinjauan Ahmad Maslan pembinaan RKAT di Kem Lok Kawi, beliau menjelaskan projek itu telah mencapai status kemajuan sebanyak 45 peratus dan dijadualkan siap pada Ogos tahun ini.

“Projek yang telah dimulakan sejak 8 Mac 2022. Projek reka dan bina ini dibangunkan di atas kawasan seluas 637 ekar dengan kos kontrak bernilai RM188 juta,” katanya.

Tambahnya lagi, skop projek kuarters kediaman ini merangkumi pembinaan sebanyak 513 unit RKAT iaitu satu unit banglo kelas B2, sebanyak 12 blok kelas G, empat blok kelas F, dua blok kelas E dan empat blok kelas C1.

Turut dibina ialah kemudahan asas lain seperti rumah sampah, rumah pam, tangki air serta kerja-kerja mekanikal dan elektrikal.

“Kelewatan pada fasa awal projek adalah disebabkan oleh masalah kekurangan bahan binaan seperti cerucuk dan simen di Sabah,” katanya.

Beliau berkata, pihak kontraktor telah mengemukakan pelan mitigasi bagi mempercepatkan pembinaan dan mengatasi kelewatan.

“Penggunaan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang diaplikasikan dalam projek ini turut membantu memendekkan tempoh pembinaan dan mengurangkan
kebergantungan kepada tenaga pekerja manual khususnya pekerja asing.

“Kontraktor juga akan menambah pekerjanya dan melaksanakan kerja lebih masa dan pekerja bekerja secara syif bagi membolehkan projek berkenaan siap mengikut jadual,” katanya sambil menambah, penambahan pekerja dan kerja lebih masa hanya akan dilaksanakan selepas perayaan Hari Raya.

Beliau juga menggalakkan pihak kontraktor agar mengutamakan tenaga kerja tempatan dalam projek itu.

“KKR berharap kontraktor dan kumpulan projek terus bekerjasama rapat berusaha untuk mempertingkatkan momentum kerja, mengatasi kelewatan serta mengekalkan kualiti dan rekod keselamatan di tapak pembinaan agar projek ini dapat disiapkan lebih awal dari jadual yang telah ditetapkan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

NGO perlu bantu memperkasa peranan wanita – Azizah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular