HomeUtamaDua subjek UMS disenarai terbaik dunia

Dua subjek UMS disenarai terbaik dunia

Read Time:1 Minute, 20 Second

Kota Kinanalu : Dua subjek yang ditawarkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) tersenarai dalam kelompok terbaik dunia menerusi penarafan QS World University Rankings by Subject 2025 yang diumumkan baru-baru ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, subjek Kejuruteraan Petroleum berada di kedudukan antara 101-150 terbaik dunia, satu peningkatan berbanding di kedudukan 151-160 pada tahun 2023.

Katanya, satu lagi subjek, iaitu subjek Pertanian dan Perhutanan terus mengekalkan kedudukan seperti tahun sebelumnya dengan berada di kelompok 251-300 terbaik dunia.

Kasim berkongsi perkara tersebut dalam Majlis Sungkai Perdana UMS Bersama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Masjid UMS baru-baru ini.

Tambah beliau, pencapaian kedua-dua subjek tersebut telah menaikkan lagi nama UMS di peringkat antarabangsa, dan UMS akan terus menyampaikan perkhabaran baik menerusi pelbagai pencapaian cemerlang seumpama itu.

Pada majlis tersebut, Kasim menerima replika cek berjumlah RM776,634.90 daripada Bahagian Zakat dan Fitrah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) yang disampaikan oleh wakil MUIS, Wan Mohd. Zakri Wan Yaacob sebagai simbolik penyerahan agihan zakat harta kepada UMS.

Majlis penyerahan tersebut turut disaksikan oleh Tun Musa; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud; dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan.

Agihan kutipan zakat harta bagi tahun 2024 itu adalah hasil Memorandum Perjanjian (MoA) yang telah dimeterai pada tahun 2022 bagi membantu meringankan kewangan golongan asnaf dalam kalangan pelajar dan kakitangan UMS.

Terdahulu, Tun Musa turut berkesempatan memotong reben sebagai simbolik perasmian fasiliti Orang Kurang Upaya (OKU) untuk kemudahan golongan tersebut di Masjid UMS, serta menyampaikan bantuan zakat kepada lapan pelajar UMS. – SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
Utama

Enam warga Filipina mangsa bot karam diserah semula ke negara jiran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular