HomeUtamaSektor Agromakanan Akan Dipacu Oleh Strategi Pemodenan Melalui IR4.0 Dibawah RMK-12

Sektor Agromakanan Akan Dipacu Oleh Strategi Pemodenan Melalui IR4.0 Dibawah RMK-12

Read Time:2 Minute, 22 Second

SHAH ALAM: Kemajuan sektor agromakanan akan dipacu oleh strategi pemodenan melalui teknologi mekanisasi dan revolusi industri keempat (IR4.0) dibawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia termasuk peningkatan keberkesanan aktiviti pemindahan teknologi yang menyumbang ke arah peningkatan produktiviti.

“Pemodenan sektor agromakanan juga sememangnya menjadi antara tumpuan utama dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0 yang pelaksanaannya bermula pada 2021 sehingga 2030.

“Dasar ini juga telah mengambil kira strategi-strategi yang digariskan dalam Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR),” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Hari Inovasi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) 2021 di Serdang disini hari ini.

Sambutan yang berlangsung secara hibrid itu mendukung tema “Breakthrough Innovations: Facing Challenges Together” yang dipilih bertepatan dengan suasana masa kini dalam mendepani pelbagai cabaran seperti isu perubahan iklim, penggunaan teknologi maju dan tidak terkecuali pandemik COVID-19 yang telah memberi kesan kepada sektor agromakanan negara secara langsung dan tidak langsung.

Dr Ronald berkata, dalam menangani cabaran-cabaran sekuriti makanan, inovasi memainkan peranan penting di dalam menentukan pemacu perubahan (game changer) yang dicari selama ini.

Katanya, ia bukan sahaja bagi menyelesaikan masalah semasa, malah berpotensi untuk membuka ruang dan peluang baharu yang dapat dimanfaatkan oleh industri agromakanan secara khususnya dan menyumbang di dalam perkembangan sektor ekonomi negara secara amnya.

“Adalah penting bagi sesebuah inovasi itu dapat menyumbang kepada pencapaian yang dapat diukur oleh indikator di dalam negara dan juga antarabangsa seperti Tahap Sara Diri (SSL), Nisbah Kebergantungan Import (IDR), Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) dan Matlamat Pembangunan Mapan (SDGs),” katanya.

Hari Inovasi MARDI ini merupakan acara tahunan yang telah diadakan sejak tahun 2011 dengan pelbagai program yang dianjurkan seperti Anugerah Inovasi MARDI (AIM), Pertandingan Pameran Sains dan Teknologi MARDI (MSTE), Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) MARDI dan Pertandingan Inovasi Akar Umbi MARDI (AUM).

Hari Inovasi MARDI kali ini juga menyaksikan sebanyak lapan kategori anugerah AIM dipertandingkan dengan 112 penyertaan dari pusat penyelidikan dan pemindahan teknologi.

Manakala, sebanyak 151 penyertaan telah diterima untuk dipertandingkan dalam MSTE; 119 penyertaan Kategori Pengetahuan dan 32 penyertaan Kategori Inovasi. Selain itu, KIK dan AUM masing-masing telah menerima sebanyak 7 dan 18 penyertaan berkumpulan bagi merebut anugerah dan hadiah yang ditawarkan.

Sambutan Hari Inovasi MARDI ini turut dihadiri oleh Dato’ Haslina Abdul Hamid, Ketua Setiausaha MAFI, Dato’ Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani, Ketua Pengarah MARDI serta warga MAFI dan MARDI.

Dalam pada itu, Dr Ronald juga turut melancarkan beberapa produk hasil penyelidikan dan inovasi MARDI termasuklah Produk Minuman Berasaskan Terung Asam Kaya Dengan Asid

Hidroksisinamik; Produk Krim Antiradang (Cleosafe) Berasaskan Sayuran Maman; Air Kelapa Muda Berkarbonat dan Ais Krim Kelapa Kurang Kalori.

MARDI juga telah berjaya menghasilkan sebanyak enam teknologi yang telah dikomersialkan melalui penjualan terus atau perlesenan bersama syarikat dan enam teknologi masih dalam rundingan pengkomersialan sepanjang pandemik COVID-19 melanda iaitu antara tahun 2020 hingga 2021.

RELATED ARTICLES
Utama

Pelajar Kolej Vokasional Keningau Wakili Malaysia di Taipei 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular