Pemerkasaan Usahawan, Professional Wanita Sabah Menerusi Kerjasama NGO & Kerajaan Negeri

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 36 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Pemerkasaan wanita dalam bidang keusahawanan serta profesional merupakan salah satu fokus yang harus ditekankan kerana wanita merupakan golongan berpotensi dan berkemahiran tinggi.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri cakna dengan pelbagai cabaran yang ditempuhi oleh golongan wanita di Sabah akibat daripada penularan wabak COVID-19. Oleh itu, kita akan memastikan bahawa mereka yang memerlukan akan dibantu dan disokong.

“Kejayaan usaha dan inisiatif ini harus didokong dengan kerjasama erat di antara Kerajaan Negeri dan organisasi lain yang memperjuangkan matlamat yang sama,” kata Hajiji semasa menerima kunjungan hormat daripada rombongan Persatuan Sabah Women Entrepreneurs and Professionals Association (SWEPA), yang diketuai Presidennya, Siti Bahaya Damsal, di pejabatnya di Menara Kinabalu di sini, pada Selasa.

Dalam kunjungan hormat itu, Siti Bahaya turut memberi penerangan kepada Ketua Menteri mengenai beberapa program SWEPA termasuk 14th Installation Ceremony atau Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan bagi Jawatankuasa Eksekutif SWEPA bagi penggal 2021-2023, yang akan diadakan pada 27 November ini.

Ketua Menteri turut dijemput oleh SWEPA sebagai tetamu kehormat pada majlis itu yang akan diadakan secara virtual.

SWEPA merupakan salah satu organisasi yang memainkan peranan penting dalam pemerkasaan peluang, kebolehan dan kemahiran wanita di Sabah.

“Saya amat berbesar hati untuk menerima kunjungan hormat daripada SWEPA, kami telah membincangkan pelbagai perkara melibatkan usaha, langkah dan inisiatif bagi meningkatkan serta memastikan usahawan dan professional wanita di Sabah yang mengalami kekurangan sumber mampu memperolehi lebih banyak peluang dan bantuan,” kata Hajiji.

Hajiji juga berharap lebih banyak organisasi yang mengambil langkah sama kerana golongan wanita seharusnya diberikan peluang bagi membuktikan keupayaan mereka untuk berjaya khususnya dalam suasana yang mencabar dan kompetitif ini.

Turut sama hadir dalam kunjungan SWEPA ialah Karen Wong, Naib Presiden, Lai Fui Nar dan Datuk Aminah Ambrose selaku mantan Presiden SWEPA.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *