HomeUtamaRM1.2 bilion untuk projek pembangunan luar bandar Sabah tahun ini - Mahdzir

RM1.2 bilion untuk projek pembangunan luar bandar Sabah tahun ini – Mahdzir

Read Time:1 Minute, 49 Second

BERNAMA

KOTA KINABALU, Sebanyak RM1.2 bilion diperuntukkan untuk pembangunan luar bandar di seluruh Sabah sepanjang tahun ini, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata peruntukan berkenaan adalah untuk membiayai projek jalan kampung, bekalan air bersih luar bandar dan projek bekalan elektrik luar bandar.

“Ada projek yang dilaksanakan di Sabah pada tahun ini lewat disiapkan disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Semasa PKP, ada kontraktor yang terpaksa menghentikan operasi disebabkan ada arahan yang dikeluarkan.

“Oleh itu, ada projek yang sepatutnya siap pada Mei lepas terpaksa ditangguhkan hingga hujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek menaik taraf jalan raya Kampung Pulau Penampang, dekat sini hari ini.

Terdahulu, beliau turut sempat melawat beberapa projek luar bandar antaranya projek naik taraf Jalan Konkrit Kampung Ratau, Manggatal, Kota Kinabalu dan projek membina jalan konkrit di Kampung Tombovo, Putatan.

Ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak berkenaan proses pembangunan di Sabah lambat, Mahdzir berkata Sabah adalah negeri yang besar dan memerlukan jumlah peruntukan yang besar.

“Contohnya, jalan raya di Sabah panjang dan ia memerlukan peruntukan yang sangat besar. Oleh itu, jalan raya berkenaan hanya boleh dibina sedikit demi sedikit dan ambil masa untuk disiapkan. Apa yang pasti setiap tahun ada sahaja peruntukan diberikan untuk pembangunan Sabah dan ia tidak pernah berhenti,” tambahnya.

Sementara itu, beliau berkata kementeriannya datang ke Sabah untuk meninjau perjalanan projek yang telah dilaksanakan di negeri itu.

“Hari ini saya telah mendengar taklimat mengenai pembangunan luar bandar di Sabah dan saya mahu lihat apa projek yang telah dijayakan dan apa perancangan untuk tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata sejumlah 1,672 orang menerima bantuan Quick Win, sebuah program meningkatkan kemahiran golongan sasar, di Sabah sejak 2017 hingga 2021 melibatkan peruntukan sebanyak RM2.49 juta.

Beliau berkata kursus Quick Win dilaksanakan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) itu menyasarkan kumpulan belia dan beliawanis B40, peserta kelas kemahiran KEMAS, ibu tunggal, suri rumah dan orang kurang upaya (OKU).

“Kursus ini diharap memberikan pendedahan kepada peserta yang berpotensi dan ingin menambah pendapatan dalam bidang kemahiran yang diceburi dan seterusnya mampu untuk menjadi pengusaha luar bandar yang berjaya,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada 30 peserta Quick Win di sini hari ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Regatta Lepa disenaraikan dalam kalendar pelancongan tahun 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular