KOTA KINABALU : Perkhidmatan bas ekspress dan bas henti-henti dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 75 peratus penumpang selepas Sabah beralih fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dari Fasa 2 ke Fasa 3 bermula semalam.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia termasuk bas pekerja, bas sekolah, bas pelancongan dan keretapi turut dibenarkan beroperasi.
“Kerajaan turut membenarkan perkhidmatan teksi atau e-hailing mengambil penumpang mengikut kapasiti kenderaan iaitu hanya empat orang termasuk pemandu.
“Manakala hanya tiga orang sahaja wakil isi rumah bagi individu yang belum lengkap divaksin dibenarkan keluar hanya untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat, penokok diet dan keperluan asas,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.
Masidi berkata, bagi bot – bot nelayan di perairan ESSZONE yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan hanya dibenarkan melakukan pergerakan dari jam 6 pagi hingga 6 petang (hanya di jeti-jeti yang dibenarkan sahaja).
Katanya, kebenaran itu tertakluk kepada permit yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah berkenaan.
“Pergerakan kapal Non-Convention Ships (NCS) Indonesia dan Filipina yang memasuki perairan ESSZONE, Sabah, Malaysia dan semua Kapal NCS Malaysia dari perairan ESSZONE ke Filipina dan Indonesia bagi aktiviti barter trade dan transhipment adalah dibenarkan dari jam 6 pagi hingga 6 petang.
“Kapal pengangkut ikan Indonesia ke Tawau turut dibenarkan dari jam 6 pagi hingga 6 petang,” katanya.
Tambahnya, bagi pergerakan perkhidmatan feri/bot komersil seperti berikut Feri Penumpang, Bot Penumpang dan Feri Kenderaan (Roro ferry) turut dibenarkan beroperasi dengan 75 peratus kapasiti penumpang.
“Bagi Feri Kenderaan, muatan kenderaan adalah mengikut kapasiti sebenar feri berkenaan. Masa operasi adalah dari jam 6 pagi hingga 8 malam,” katanya.