Geneva : Malaysia sekali lagi mencipta sejarah di pentas antarabangsa apabila Projek Inklusif Digital NADI Malaysia diumumkan sebagai juara ‘World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025’.
Hadiah yang disampaikan pada majlis yang dianjurkan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dengan kerjasama agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu diwakili Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Pengiktirafan itu antara lain adalah bagi memartabatkan inisiatif NADI Pulau Banggi sebagai pemenang kategori ‘C4: Capacity Building’ atas kejayaan
menyediakan literasi digital, latihan kemahiran dan peluang ekonomi kepada salah satu komuniti pulau paling terpencil di Malaysia.
Ia juga diiktiraf sebagai johan kategori yang sama seterusnya mengukuhkan lagi impak transformasinya.
Hadiah WSIS meraikan projek ICT yang memacu kemajuan ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Fahmi berkata, pihaknya amat berbesar hati menerima Hadiah WSIS ini bagi pihak Malaysia.
“Projek Inklusif Digital NADI di Pulau Banggi mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI bahawa tiada siapa pun terpinggir dalam era digital.
“Kejayaan ini adalah milik komuniti yang telah menerima kemahiran digital demi masa depan yang lebih baik, serta kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendukung visi negara yang inklusif dan terhubung,” katanya.
Terletak kira-kira 70 kilometer dari Kudat dan hanya boleh diakses dengan feri atau bot laju, Pulau Banggi menempatkan kira-kira 20,000 penduduk dengan ekonomi utama berasaskan perikanan, kelapa sawit dan getah.
Kedudukannya yang terpencil telah mengehadkan akses penduduk kepada pendidikan, penjagaan kesihatan, dan pertumbuhan ekonomi.
Di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), Pelan Infrastruktur Digital Negara Malaysia, inisiatif NADI telah mewujudkan hab digital komuniti yang kini menyediakan Internet berkelajuan tinggi dan latihan ICT kepada nelayan, petani, pelajar serta pemilik perniagaan kecil seterusnya melengkapkan mereka dengan kemahiran untuk berjaya dalam ekonomi digital kini.
Projek ini telah mengubah kehidupan penduduk, dengan warga belia memperoleh kemahiran ICT, golongan wanita memulakan perniagaan mikro dalam talian dan usahawan tempatan meluaskan pasaran mereka.
Berikutan kejayaan di Pulau Banggi, NADI kini diperluas ke kawasan kurang mendapat liputan lain termasuk Pulau Mandi Darah, dengan rancangan untuk diperluas ke seluruh negara menjelang 2035 melalui modul latihan berskala, hab komuniti, dan pembiayaan jangka panjang di Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, Projek Stingray II Pulau Ketam juga diiktiraf sebagai johan kategori ‘C2: Information and Communication Infrastructure’ atas usahanya menyediakan kesalinghubungan berkelajuan tinggi melalui pemasangan kabel gentian optik dasar laut sepanjang 46.4 kilometer antara Kapar dan Pulau Ketam.
Projek ini telah membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran dalam talian, keluarga mengakses perkhidmatan teleperubatan dan meningkatkan pertumbuhan perniagaan digital untuk perniagaan kecil.
Pengiktirafan global ini mengukuhkan komitmen Malaysia terhadap kesaksamaan digital iaitu memastikan tiada rakyat yang tertinggal walau di lokasi terpencil sekalipun.
NADI bukan sekadar projek, ia adalah komitmen untuk memastikan semua rakyat Malaysia mendapat peluang digital yang saksama.
Pencapaian ini mengesahkan kedudukan NADI sebagai salah satu program inklusif digital yang paling unik dan berkesan di dunia. – SABAH MEDIA



