HomeUtamaKerjasama padu pacu Tawau daerah nombor satu pendidikan di Sabah

Kerjasama padu pacu Tawau daerah nombor satu pendidikan di Sabah

Read Time:1 Minute, 42 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Kejayaan Tawau muncul sebagai daerah nombor satu pendidikan di Sabah membuktikan kesatuan matlamat antara Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), warga guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pelajar dalam memastikan bumi Tawau terus melahirkan generasi berintegriti dan berjaya.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pencapaian cemerlang itu adalah hasil kerjasama erat semua pihak yang berkongsi tujuan sama iaitu menjadikan pendidikan sebagai agenda utama dan memastikan anak-anak Tawau mampu menyambung kecemerlangan negeri serta negara.

“Syabas dan tahniah kepada PPD Tawau, warga guru, PIBG, pelajar serta ibu bapa kerana mempunyai satu matlamat yang sama, iaitu memastikan Tawau terus melahirkan pelajar berintegriti dan berjaya. Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama, doa dan semangat pantang menyerah,” katanya ketika ditemui seleps merasmikan Majlis Anugerah Gemilang Inspirasi Kurikulum (ANGGERIK) 2025 di Dewan SJKC Yuk Chin, di sini, semalam.

Dalam majlis itu, Tawau diraikan sebagai penerima pelbagai anugerah pendidikan peringkat negeri termasuk Anugerah Pengurusan Akademik Cemerlang 2024 (PPD Gred A), Anugerah Pencapaian Terbaik SPM Gred Purata Daerah (GPD) PPD Gred A, serta Anugerah Pencapaian STPM PNGK Terbaik PPD Gred A.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Apas menegaskan, selain kecemerlangan akademik, aspek akhlak dan moral juga tidak boleh dipinggirkan kerana generasi berilmu tanpa nilai tidak mampu menjadi penyumbang kepada keharmonian negara.

“Dalam era media sosial yang penuh cabaran ini, kita mahu anak-anak Sabah bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga mampu menjadi penyumbang kepada perpaduan, kemakmuran dan keharmonian hidup di negara tercinta ini,” ujarnya.

Beliau yakin dengan kesungguhan guru mendidik, murid gigih menuntut ilmu serta ibu bapa yang konsisten memberi sokongan, Tawau mampu mengekalkan kedudukan sebagai daerah nombor satu di Sabah, malah melangkah lebih jauh.

Tambahnya, ANGGERIK yang mekar di Tawau hari ini mesti terus berkembang hingga ke pentas antarabangsa, melahirkan saintis, pemimpin, usahawan dan tokoh akademik bertaraf dunia.

Majlis ANGGERIK 2025 menjadi wadah penghargaan kepada warga guru yang telah bertungkus-lumus memastikan pendidikan di Tawau berada di tahap tertinggi, sekaligus mengukuhkan komitmen daerah ini sebagai pusat melahirkan generasi berilmu dan berintegriti.

RELATED ARTICLES
Utama

Konsep Kebun Dapur dijangka dilancar awal tahun depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular