KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun di Papar kerana disyaki mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Ketua Menteri Sabah melalui aplikasi TikTok.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, laporan polis mengenai hantaran itu diterima pada 7 September lalu melibatkan akaun TikTok menggunakan nama @BentanaAlamin85.
“Hasil siasatan, polis menahan suspek pada 9 September kira-kira jam 2.45 petang di Papar. Turut dirampas sebuah telefon bimbit jenama Vivo yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan berunsur hasutan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, semakan awal mendapati suspek adalah pemilik akaun berkenaan selain mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
“Polis menasihati orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab. Elakkan mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau menimbulkan keresahan masyarakat,” jelas Jauteh.
Beliau menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang.



