KOTA KINABALU, — Kerajaan Negeri Sabah menzahirkan rasa prihatin dan kebimbangan terhadap penahanan dua anak Sabah, penyanyi Zizi Kirana dan aktivis kemanusiaan Sul Aidil, yang kini berada dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini berkata keberanian kedua-dua sukarelawan tersebut menjadi kebanggaan rakyat Sabah.
“Kerajaan Negeri yakin YAB Perdana Menteri bersama YB Menteri Luar Negeri akan mencari dan mengambil langkah diplomatik terbaik dalam membantu pembebasan segera semua sukarelawan yang terlibat,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Sabah tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik untuk bersatu menunjukkan solidariti terhadap nasib kedua-dua individu itu dan rakan sukarelawan lain.
“Doa kita mengiringi keselamatan dan pembebasan mereka yang berjuang atas nama kemanusiaan,” katanya.
Kenyataan itu menyusul selepas laporan penahanan beberapa sukarelawan Malaysia termasuk Zizi Kirana dan Sul Aidil yang menyertai misi kemanusiaan di Gaza awal pagi ini.
Sehingga artikel ini diterbitkan Lapan rakyat Malaysia termasuk Zizi Kirana yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dilaporkan ditahan secara tidak sah tentera Israel selepas kapal yang mereka naiki dan dipintas di perairan antarabangsa, awal pagi tadi.
Perkembangan itu dikongsikan menerusi akaun media sosial rasmi Sumud Nusantara Official sebentar tadi yang memaklumkan beberapa kapal termasuk Huga yang dinaiki Zizi dinaiki dan dipintas tentera Israel.
Dalam perkongsian itu Sumud Nusantara Official turut memuat naik rakaman video Zizi yang dibuat sebelum pelayaran sebagai persediaan sekiranya ditahan pihak berkuasa Israel.



