KOTA KINABALU: Masjid dan surau di seluruh negeri Sabah diminta untuk melaksanakan Solat Hajat Khas dan Doa Selamat hari ini bagi mendoakan keselamatan 13 warga Malaysia serta seluruh kru Misi Sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, misi sukarelawan itu kini berhadapan ujian dalam pelayaran menghantar bantuan ke Gaza.
Katanya, misi kemanusiaan tersebut kini berdepan cabaran apabila lima kapal dilaporkan terputus hubungan, termasuk penahanan beberapa aktivis melibatkan dua anak Sabah.
“Kita menyahut saranan Ketua Menteri Sabah untuk mengenepikan perbezaan ideologi dengan bersolidariti mendoakan keselamatan dan kejayaan misi ini,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Arifin yang juga Exco Agama dan Pendidikan berkata, pelaksanaan Solat Hajat dan Doa Selamat ditetapkan selepas solat Zohor dan Maghrib pada Khamis, 2 Oktober 2025 di semua masjid dan surau seluruh negeri.
Beliau turut berkata, pelaksanaan Solat Hajat dan Doa Selamat juga akan ditetapkan dilaksanakan selepas solat Jumaat esok.
“Saya menyeru seluruh umat Islam di Sabah agar mengambil peluang ini untuk bersama-sama mendoakan agar semua tahanan dibebaskan dengan selamat serta misi kemanusiaan itu mencapai keberkatan dan kejayaan,” katanya. – SABAH MEDIA



