TONGOD: Seorang kanak-kanak lelaki dan seorang warga emas terkorban selepas dihanyutkan arus deras ketika banjir kilat melanda Kampung Bangkulut Imbak, di sini, malam tadi.
Kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa cuba menyeberangi lintasan air yang sudah ditenggelami banjir.
Banjir yang melanda kampung tersebut dipercayai berpunca daripada fenomena “kepala air” yang datang secara mengejut dari hulu sungai.
Ketika kejadian, kedua-dua mangsa sedang berusaha menyelamatkan diri ke kawasan yang lebih tinggi. Mangsa kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun itu dilaporkan terlepas daripada genggaman ibunya sebelum dihanyutkan arus deras.
Pasukan Bomba Kinabatangan menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.46 malam dan tiba di lokasi kira-kira pukul 3.01 pagi setelah melalui perjalanan sejauh 169 kilometer.
Operasi mencari dan menyelamat berjaya menemui mangsa wanita warga emas berusia 79 tahun pada pukul 3.25 pagi dalam keadaan tidak bernyawa, kira-kira 250 meter dari lokasi asal dia dihanyutkan.
Mangsa kedua, kanak-kanak lelaki berkenaan, ditemui kira-kira pukul 4.55 pagi dalam jarak 200 meter dari lokasi mangsa pertama ditemui. Kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi ditamatkan pada pukul 5.04 pagi setelah pihak bomba memastikan tiada lagi ancaman bahaya dan air sungai telah surut sepenuhnya.
Mangsa warga emas dikenalpasti seorang warga Indonesia manakala kanak-kanak lelaki itu merupakan warga tempatan.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan Hairi Otuh, operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan anggota Bomba Kinabatangan, polis dan Angkatan Pertahanan Awam.



