PRN SABAH
HomeUtamaPRN17 : Biarlah kita bertenang dahulu - Masidi

PRN17 : Biarlah kita bertenang dahulu – Masidi

Read Time:1 Minute, 54 Second

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memilih untuk kekal bertenang dalam menghadapi suasana politik semasa, termasuk selepas dua parti komponen meninggalkan gabungan itu.

Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun berkata, gabungan itu tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan, sebaliknya menekankan pentingnya ketenangan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Kita tunggu masa yang sesuai, kemudian kita akan maklumkan. Buat masa ini, biarlah kita bertenang dahulu. 

“Pilihan raya itu penting, tetapi keputusan yang lebih baik biasanya dibuat ketika kita tenang. Setiap masalah ada penyelesaiannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis pecah tanah projek Jesselton Docklands di sini pada Jumaat bagi mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Mengulas mengenai hubungan GRS dengan parti yang telah keluar gabungan itu, Masidi yang juga Menteri Kewangan  berkata, persahabatan tetap dikekalkan walaupun berbeza pendirian politik.

“Malah, dalam sesi perbincangan kami masih bercakap seperti kawan. Bila pulang, kami masih berkawan. 

“Kami akan terus berkawan. Inilah yang rakyat Sabah perlu faham. Tidak semestinya bila tidak sependapat, kita menjadi musuh,” katanya.

Beliau berkata, budaya politik di Sabah harus mencerminkan nilai persaudaraan dan kematangan, di mana perbezaan pandangan bukan alasan untuk bermusuhan.

“Orang Sabah sudah lama mengamalkan sikap ini, menjaga hubungan sesama sendiri. Kita mungkin berbeza pendapat, tetapi itu tidak bermakna kita musuh,” katanya.

Semalam, Masidi berkata, keanggotaan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) dalam GRS dengan sendirinya tamat selepas kedua-dua parti itu memutuskan untuk bertanding menggunakan lambang masing-masing pada PRN ke-17 akan datang.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan oleh Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, pada Rabu

Menurutnya, mesyuarat hampir dua jam itu turut dihadiri semua Presiden parti komponen.

Tambahnya lagi, agenda utama mesyuarat yang berlangsung selama hampir dua jam itu adalah untuk membincangkan dan mengemas kini persiapan gerak kerja GRS dalam menghadapi PRN-17 termasuk rundingan agihan kerusi antara GRS dan Pakatan Harapan (PH).

“Dalam mesyuarat tersebut juga, Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, dan Presiden SAPP Datuk Seri Yong Teck Lee, telah menyatakan hasrat parti masing-masing untuk bertanding menggunakan lambang parti sendiri dalam PRN17 nanti.

“Mereka memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat kerana tidak mahu terikat dengan kuota agihan kerusi DUN yang akan dimuktamadkan antara GRS dan PH, ” katanya. –SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Program Pembersihan Pantai Tahunan Ke-11 teguhkan komitmen FOSTER terhadap pemuliharaan penyu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular