KOTA KINABALU: Rakyat di negeri ini termasuk masyarakat Cina diharap akan terus memberikan sokongan kepada Kerajaan Negeri sedia ada dalam usaha memajukan Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri pada masa ini akan terus memacu pembangunan kerana menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat.
Katanya, Kerajaan Negeri juga amat menghargai sumbangan serta dedikasi masyarakat Cina dalam membantu membangunkan negeri ini.
“Oleh itu, marilah kita terus memelihara dan memperkukuh perpaduan ini serta menjadikan Sabah contoh bagaimana kepelbagaian mampu menjadi kekuatan yang menyatukan kita semua.
“Dalam semangat perayaan ini, marilah kita memperbaharui komitmen untuk bekerjasama demi kemajuan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sambutan Pesta Tanglung 2025 di Dewan Putra, Bukit Padang di sini pada Jumaat.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew.
Hajiji berkata Sabah merupakan contoh unggul bagi Malaysia dalam mengekalkan keharmonian berbilang kaum.
“Dengan lebih daripada 30 kumpulan etnik, kita hidup dalam suasana saling menghormati. Kepelbagaian ini adalah satu anugerah yang menjadikan Sabah benar-benar istimewa.
“Keharmonian yang kita nikmati bukanlah secara kebetulan, tetapi hasil daripada semangat kebersamaan, toleransi dan rasa hormat yang diamalkan oleh setiap rakyat Sabah.
“Semangat ini jelas terlihat dalam cara kita menyambut pelbagai perayaan seperti Tahun Baru Cina, Pesta Tanglung, Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Krismas bersama-sama.
“Oleh itu, kepelbagaian budaya yang kita miliki di Sabah mesti terus diraikan oleh semua, tanpa mengira bangsa atau agama.
“Kepelbagaian ini, termasuklah perayaan seperti Pesta Tanglung, telah membantu menyatukan rakyat negeri ini untuk hidup dalam suasana aman dan harmoni. Inilah keunikan dan kekuatan Sabah,” katanya.
Sementara itu, Hajiji memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memupuk perpaduan melalui pelbagai program dan inisiatif, walaupun usaha tersebut memerlukan sokongan semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan serta pemimpin masyarakat.
“Oleh itu, saya berharap rakyat negeri ini akan terus bersatu padu dan tidak mudah terpengaruh dengan naratif tidak berasas yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan ekonomi rakyat dan negeri.
“Selain itu, bidang lain seperti pendidikan, pembangunan modal insan, dan kesejahteraan rakyat turut menjadi keutamaan utama Kerajaan Negeri.
“Kita sedar terdapat cabaran yang perlu ditangani, termasuk isu yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu seperti bekalan air dan elektrik.
“Namun, kerajaan sedia ada akan terus berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan isu-isu ini melalui inisiatif jangka pendek dan jangka panjang. Apa yang paling penting ialah sokongan rakyat agar Sabah terus makmur dalam Malaysia,” katanya.



