KOTA KINABALU : Pelaksanaan program penanaman pokok sayur dan gotong-royong mampu mendidik masyarakat tentang nilai berdikari dan pengurangan kos sara hidup melalui penanaman sayuran sendiri, selain mempromosikan gaya hidup sihat.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, program seumpama itu juga merupakan sebahagian daripada komitmen pihaknya bagi menjadikan Kota Kinabalu sebagai sebuah Bandaraya Hijau, Bersih dan Lestari.
Beberapa tahun lalu katanya, DBKK telah menggerakkan beberapa agenda penting, termasuklah mengadakan program kebun komuniti bandar; inisiatif clean-up day; pameran pendidikan dan demonstrasi kesedaran dan penyediaan sokongan logistik dan sumber oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

“Dengan inisiatif-inisiatif ini, DBKK ingin menegaskan bahawa peranan pihak berkuasa tempatan bukan sekadar mengurus pembangunan infrastruktur, tetapi juga sebagai pemudah cara, penghubung, dan pemangkin perubahan sosial di tengah-tengah komuniti bandaraya.
“Objektif yang ingin dicapai melalui program ini adalah sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang disepakati dunia. Pertama, ia memenuhi SDG 3 dengan memastikan kehidupan sihat dan kesejahteraan pada semua peringkat umur.
“Kedua, ia menepati SDG 11 dengan menjadikan bandar dan penempatan manusia lebih inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan. Ketiga, ia menyokong SDG 13 dengan mengambil tindakan segera menangani perubahan iklim melalui usaha penghijauan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Penanaman 1,000 Pokok Sayur dan Gotong-Royong di Sembulan di sini pada Sabtu.
Sabin berkata, program itu turut menyokong pelaksanaan dasar-dasar utama negara seperti Dasar Komuniti Negara (DKoMN), Dasar Perbandaran Negara, Dasar Kebersihan Negara, dan Dasar Kebun Komuniti Bandar.
“Dengan kata lain, apa yang kita laksanakan bukanlah aktiviti biasa, sebaliknya sebahagian daripada strategi besar ke arah menjadikan Kota Kinabalu sebuah bandaraya hijau dan Lestari,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK



