Oleh Ahmad Husnayan
TAWAU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menegaskan bahawa dakwaan kononnya sokongan masyarakat Cina di Sabah kini beralih kepada Parti Warisan (Warisan) tidak berasas dan jauh daripada realiti politik semasa.
Beliau berkata, hakikatnya masyarakat Cina bersama rakyat pelbagai kaum di negeri ini kekal menaruh keyakinan terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Katanya, masyarakat Cina semakin selesa dengan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dengan rekod pentadbiran stabil serta berfokus kepada pembangunan rakyat.
“Itu cuma cakap beliau (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal). Saya juga boleh katakan bahawa bukan hanya masyarakat Cina, malah semua rakyat Sabah memberi sokongan kuat kepada kerajaan GRS pimpinan Datuk Seri Hajiji.
“Biasalah orang politik, masing-masing ada pandangan, tetapi akhirnya rakyatlah yang akan menentukan siapa yang benar-benar bekerja untuk mereka,” katanya
Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Civil Defence Fun Run (CDFR) 2025 di Tawau, hari ini.
Nizam berkata, masyarakat Cina di Sabah secara tradisinya menilai kerajaan berdasarkan prestasi ekonomi dan kestabilan pentadbiran, bukannya berdasarkan retorik politik semata-mata.
“Kita lihat sekarang aktiviti ekonomi semakin meningkat, pelaburan masuk bertambah, dan sektor perniagaan kembali rancak.
“Semua ini bukti nyata dasar kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji berkesan dan membawa hasil positif kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, jika ada segelintir pihak yang mendakwa kononnya masyarakat Cina telah berpaling tadah, dakwaan itu hanyalah propaganda politik lama yang tidak lagi relevan dalam suasana politik matang hari ini.
“Mungkin ada yang terpengaruh dengan dakyah atau hasutan politik, tetapi rakyat yang menilai secara fakta tahu kerajaan sekarang bekerja keras membangunkan negeri.
“Kita bermula daripada sifar selepas mengambil alih pentadbiran, namun hasilnya kini sudah dapat dilihat,” katanya.
Semalam Shafie memaklumkan bahawa kehadiran masyarakat Cina dalam majlis makan malam di Tawau membuktikan angin perubahan komuniti berkenaan kepada menyokong parti Warisan.



