Oleh Rhea Dhamin
KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah beranggapan kestabilan politik khususnya di negeri ini merupakan keutamaan berbanding jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditawarkan oleh jumlah kerusi yang bakal ditawarkan oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17 kelak.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata pihaknya ingin memastikan tidak ada sebarang perselisihan di antara semua parti komponon dalam gabungan sama ada dalam GRS mahupun Pakatan Harapan (PH) Sabah disebabkan perkara itu.
“Apa yang penting kita mahu menjaga kestabilan politik negara sebenarnya. Kita tidak mahu dalam konteks negeri Sabah ini, kita akan wujudkan keretakan antara parti-parti komponen.
“Jadi itu yang kita mahu supaya hanya 20 (kerusi DUN Sabah) .. maksimum 23 tapi mungkin kurang lagi selepas beberapa perbincangan. Tapi bagi kita itu sudah mencukupi.
“Kita mahu membentuk kerajaan stabil di peringkat negeri dan juga kita mahu supaya kerajaan negeri yang bakal ditubuhkan nanti juga akan bekerjasama rapat dengan kerajaan pusat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Maulidur Rasul 1447H Parlimen Sepanggar 2025 bertempat di Masjid Jamek Kampung Likas, di sini, semalam.
Baru-baru ini, media melaporkan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mendakwa GRS menawarkan sehingga 23 kerusi kepada PH.
Walau bagaimanapun Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun juga dilaporkan menafikan perkara terbabit dan menjelaskan perkara terbabit belum dimuktamadkan sepenuhnya.



