SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, sekali lagi membuktikan keprihatinan beliau terhadap masalah dialami penduduk kawasan beliau apabila lampu jalan yang rosak di Jalan Pei Ying berjaya dibaiki dengan segera.
Beliau yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Karamunting berkata kerjasama antara agensi berkaitan dan pasukan khidmatnya amat penting bagi memastikan isu kemudahan awam dapat ditangani dengan segera demi keselamatan masyarakat.
Hiew berkata, Jalan Pei Ying merupakan laluan utama bagi penduduk di kawasan tersebut, dan lampu jalan memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman masyarakat.
Hiew yang diwakili oleh Timbalan Ketua Unit Aduan Pasukan Petugas ADUN Karamunting, Ricky Voon, turut turun padang meninjau keadaan selepas menerima aduan daripada penduduk.
“Kami terus menyampaikan maklumat kepada pihak Sabah Electricity sebaik menerima aduan, dan mereka segera melakukan pemeriksaan serta kerja-kerja pembaikan. Kecekapan dan tindakan pantas seperti ini wajar diberikan pujian dan penghargaan,” katanya.
Sementara itu, Pasukan Petugas ADUN Karamunting turut menerima aduan daripada penduduk Taman Hsiang Garden dan Bandar Leila berhubung sistem pembetungan yang tersumbat teruk hingga menyebabkan limpahan air kumbahan, takungan air busuk dan bau tidak menyenangkan yang menjejaskan kehidupan harian penduduk serta perniagaan berdekatan.
Hasil tinjauan mendapati masalah itu telah berlarutan sejak sekian lama, menyebabkan air sisa tidak dapat mengalir dengan baik serta menjadi tempat pembiakan nyamuk.
Susulan itu, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah (JPPS) telah diminta menjalankan kerja-kerja pembersihan dan melancarkan semula aliran sistem pembetungan, yang berjaya diselesaikan kelmarin. Punca utama masalah dikenal pasti berpunca daripada bahan tidak mudah reput serta lapisan minyak yang menyumbat saluran.
Hiew turut merakamkan penghargaan kepada JPPS atas tindakan pantas mereka membersihkan manhole tersumbat di Hsiang Garden dan Bandar Leila, selain menasihatkan penduduk serta pengusaha premis makanan supaya lebih berwaspada dalam pengurusan sisa bagi mengelakkan masalah berulang.



