Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Peruntukan berjumlah RM765 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026 bagi melaksanakan projek Southern Link merupakan satu pencapaian besar yang dinanti-nantikan oleh rakyat Sabah, khususnya di kawasan Pantai Timur.
Menurut Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, projek itu merupakan satu keperluan kritikal yang telah lama diperjuangkan oleh pemimpin negeri namun hanya mendapat kelulusan di bawah kerajaan Madani pimpinan.
“Southern Link adalah antara perkara yang telah lama kita suarakan. Alhamdulillah, hanya di bawah kepimpinan PMX, projek ini akhirnya diluluskan. Ini membuktikan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap keperluan asas rakyat Sabah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Graduasi SMK Tawau di Dewan SJKC Kung Ming pada Sabtu.
Dalam pembentangan belanjawan semalam, Anwar turut mengumumkan bahawa peruntukan RM6.9 bilion untuk Sabah tahun depan adalah yang tertinggi pernah diberikan oleh kerajaan Persekutuan.
Beliau turut mencadangkan peruntukan sebanyak RM765 juta bagi pembinaan talian elektrik Southern Link yang akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sabah
Dalam pada itu, Nizam yang juta penyandang ADUN Apas menjelaskan bahawa sebelum ini, seluruh kawasan Pantai Timur bergantung sepenuhnya kepada bekalan elektrik dari grid Pantai Barat dan sebarang kerosakan pada talian seperti kejadian tanah runtuh baru-baru ini aian menyebabkan gangguan yang meluas.
“Dengan Southern Link, kita akan ada ‘backup line’. Sekiranya berlaku kerosakan di Pantai Barat, bekalan masih boleh disalurkan melalui grid alternatif. Ini penting untuk kestabilan sistem,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa kestabilan bekalan elektrik bukan hanya memberi keselesaan kepada rakyat, tetapi juga memberi keyakinan kepada pelabur untuk menanam modal di Sabah, seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi.
“Pelabur memerlukan jaminan infrastruktur asas seperti elektrik dan air yang stabil. Southern Link akan menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi Pantai Timur dan seluruh Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA



