PRN SABAH
HomePRNGagasan Rakyat Tanjung Batu sasar tubuh 25 Mini PDM, fokus pengundi muda...

Gagasan Rakyat Tanjung Batu sasar tubuh 25 Mini PDM, fokus pengundi muda hadapi PRN

Read Time:1 Minute, 56 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tanjung Batu merancang menubuhkan sehingga 25 mini Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi memperkukuh gerak kerja pilihan raya, meskipun ketika ini hanya memiliki tiga PDM rasmi.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Tanjung Batu, Ts. Ismail Awang berkata, walaupun jentera telah digerakkan sejak beberapa bulan lalu, pelancaran jentera Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Ahad menjadi pemangkin untuk menggandakan lagi usaha di akar umbi.

“Kita sebenarnya sudah bergerak sejak beberapa bulan lepas. Dengan pelancaran hari ini (Ahad), kita akan pertingkatkan gerak kerja. Walaupun hanya ada tiga PDM, kita rancang tubuhkan 20 hingga 25 mini PDM untuk memperkukuh rangkaian di seluruh DUN,” katanya ketika ditemui Sabah Media pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri ke-17 GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Ahad.

Menurutnya, peningkatan jumlah pengundi di Tanjung Batu turut menjadi faktor utama perlunya penstrukturan semula gerak kerja parti. Jumlah pengundi kini melonjak kepada hampir 27,000 berbanding hanya sekitar 15,000 pada PRN 2020.

Daripada jumlah itu, 67 peratus adalah pengundi muda berusia 40 tahun ke bawah.

“Bilangan pengundi muda sangat besar. Itu fokus utama kami. Kita dekati mereka melalui program belia, bantuan komuniti dan ziarah masyarakat. Namun, pengundi berusia lebih 40 tahun tetap kita santuni,” katanya.

Ts Ismail turut mengakui Tanjung Batu berpotensi menyaksikan pertandingan banyak penjuru kerana dianggap kerusi panas. Namun, Gagasan Rakyat tetap optimis dengan kekuatan keahlian yang kini mencecah antara 6,000 hingga 7,000 ahli di kawasan tersebut.

“Kita tahu sasaran minimum undi yang perlu kita capai. Sebab itu mini PDM penting, sebagai pusat gerakan langsung ke pengundi,” ujarnya.

Mengulas kenyataan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mendakwa parti lokal sebagai ‘penipu’ dan tidak ada kelas, Ismail menegaskan bahawa perjuangan Gagasan Rakyat adalah untuk memperkukuh parti tempatan demi autonomi Sabah.

“Itu pandangan beliau. Bagi kami, parti lokal penting. Kita mahu jadi seperti Sarawak, ditadbir oleh parti tempatan yang dominan. Walaupun perlu kerjasama dengan persekutuan, biarlah anak Sabah yang mengurus negeri,” katanya.

Beliau turut menyambut baik keputusan mahkamah berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah, menyifatkannya sebagai langkah penting dalam memperjuangkan hak negeri.

“Ini satu titik permulaan yang baik. Kita ucap syabas kepada pihak yang membawa kes ini,” katanya.

Dengan strategi yang semakin tersusun, Gagasan Rakyat Tanjung Batu kini berada pada fasa memperkemas gerak kerja terakhir sebelum memasuki kempen rasmi PRN akan datang.

RELATED ARTICLES
Utama

Bung Moktar bina kekuatan pasukan Sabah melalui kepercayaan dan dedikasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular